SUKAN > BERITA

Jurulatih Harap Masalah KDA FC Segera Selesai, Elak Huni Tangga Tercorot

15/09/2024 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC Mohd Nafuzi Zain berharap pihak pengurusan segera menyelesaikan masalah dalaman kelab berkenaan supaya tidak menjadi pasukan belasahan di Liga Super. 

Bercakap pada sidang media selepas barisan pemain mudanya dibelasah 0-5 oleh Kuala Lumpur (KL) City FC malam tadi, beliau berkata sekiranya masalah itu tidak ditangani segera ia akan merumitkan lagi keadaan.

Selain skuad Sang Kenari itu berisiko menjunam ke posisi lebih corot, beliau tidak menolak kemungkinan beberapa pemain berkualiti akan ‘angkat kaki’, mengikut langkah pemain seperti Habib Haroon dan Fikri Che Soh untuk meninggalkan pasukan. 

“Sebagai ketua jurulatih, semestinya memerlukan pemain terbaik pada setiap perlawanan untuk menang. Saya memahami keadaan dan kesukaran yang pemain alami kerana dari awal pun bukan dengan keadaan serba lengkap namun mereka tetap bersama kita selama ini.

“Mungkin pemain berada dalam kesusahan dan dalam situasi ini, saya cuma berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera untuk kekalkan pemain dan mendaftar pemain baharu,” katanya sambil menambah beliau menerima cabaran itu sebagai pengalaman yang dapat mematangkannya apabila kelab menghadapi masalah.

Di sebalik kekalahan besar itu, Mohd Nafuzi berkata ia menjadi pengalaman dan pendedahan berharga buat pemain muda yang sudi mewakili skuad Sang Kenari.

Pemain skuad utama KDA FC dilaporkan memboikot latihan pasukan kerana tunggakan gaji sejak beberapa bulan lepas, menyaksikan Mohd Nafuzi menurunkan majoriti pemain berusia 20 tahun ke bawah, terutamanya pemain yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, bulan lepas. 

Pada aksi tersebut, jaringan Jovan Motika pada minit ke-14, Zhafri Yahya (26') dan kapten Paulo Josue (49' & 59') serta jaringan sendiri Hazrie Balqief Zulhadi (23’) mengesahkan tiga mata buat tuan rumah.

Walaupun tandukan Josue ditukar sebagai jaringan sendiri selepas terkena kaki Hazrie Balqief untuk menidakkan hatriknya, penyerang naturalisasi itu tetap mencipta sejarah sebagai penjaring terbaik sepanjang zaman kelab itu dengan 68 jaringan, mengatasi rekod 67 gol milik pemain Singapura Fandi Ahmad.

Sementara itu, ketua jurulatih KL City Miroslav Kuljanac berpuas hati dengan sikap dipamerkan para pemain yang tetap menghadiri latihan dan bermain untuk kelab walaupun dilaporkan menghadapi masalah gaji seperti lawan mereka.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata kebimbangan utamanya sebelum perlawanan adalah untuk memastikan barisan pemain terus bermotivasi walaupun mengetahui pasukan pelawat hanya akan menurunkan pemain muda, bukan skuad utama.

"Memang benar pemain mereka (pasukan utama) memutuskan untuk tidak bermain, tetapi kami masih terus beraksi. Kami harap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Saya sangat gembira dengan pemain saya kerana mereka masih bermain dan percaya semuanya akan baik-baik saja.

“Ya, ini adalah ‘latihan’ terbaik dan persediaan untuk perlawanan seterusnya...Menang 5-0 sudah memadai tidak perlu bermain seratus peratus menentang pemain muda Kedah.

“Pada saya keputusan malam ini (semalam) sudah memadai. Mungkin jurulatih mahu pemain terus mendapatkan lebih banyak gol tapi kami bermain ikut keperluan kami. Mereka juga bermain dengan baik untuk kelab mereka, tahniah, saya tahu mereka dalam situasi sukar,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan