SUKAN > BERITA

Speedy Tigers Tewas Penalti Shoot-out, Akhiri Cabaran ACT 2024 Di Tempat Keenam

16/09/2024 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Malaysia terpaksa menerima hakikat apabila tewas 2-4 kepada Jepun menerusi penentuan penalti shoot-out dalam aksi klasifikasi kelima dan keenam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, China hari ini.

Dua gol itu diperolehi menerusi Faizal Saari dan Norsyafiq Sumantri, manakala Kosei Kawabe, Kazumasa Matsumoto, Seren Tanaka dan Tsubasa Tanaka merupakan penyumbang jaringan buat Jepun.

Terdahulu, perlawanan itu diheret sehingga penentuan penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 selepas tamat masa sebenar dengan pasukan Matahari Terbit itu terlebih dahulu memperoleh jaringan pembukaan menerusi gol padang Kazumasa Matsumoto seawal minit ketiga perlawanan.

Selang dua minit kemudian, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti sebelum Faizal Saari terus menggandakan kedudukan Speedy Tigers pada minit ke-21.

Bagaimanapun, Yuki Chiba berjaya menjaringkan gol padang tiga minit kemudian sebelum Faizal menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-32 sebelum Kazumasa kembali menyamakan kedudukan apabila menyempurnakan jaringan padang lima minit kemudian.

Mohd Fitri Saari yang meletakkan Malaysia di kedudukan selesa menerusi gol padang pada minit ke-47 perlu menerima hakikat apabila Seren Tanaka bijak memanfaatkan peluang dengan menghasilkan gol padang pada minit akhir perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Lelaki Kebangsaan Sarjit Singh tidak menjangkakan perlawanan akan berakhir menerusi penentuan penalti shoot-out, namun mengakui anak buahnya telah melepaskan peluang dengan membenarkan Jepun 'menguasai’ di dalam padang.

"Menamatkan kempen dengan keputusan mengecewakan. Kami ada peluang untuk buat jaringan tetapi kurang klinikal di dalam “D”. Pemain berusaha keras, namun kesilapan mudah memusnahkan harapan kita untuk memenangi perlawanan hari ini," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Dalam pada itu, Sarjit berkata mereka pastinya akan terus memperbaiki beberapa kelemahan dikenal pasti dan perlu tahu taktik memperoleh kemenangan ketika sudah mendahului pihak lawan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan