SUKAN > BERITA

Keluar BAM: Bukan Bermakna Badan Induk Bermasalah - Rexy

17/09/2024 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Keputusan untuk tidak lagi berada di bawah payung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah hak mutlak pemain, bukannya memberi gambaran badan induk itu bermasalah.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata pemain yang memilih haluan untuk bergelar profesional berkemungkinan sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk masa depan kerjaya mereka.

“Saya harap peminat sukan badminton tanah air dapat melihat perkara ini dari sudut positif kerana mereka masih tetap menjadi wakil Malaysia walaupun sudah bergelar pemain profesional.

“Bukan masalah di BAM. Kita jangan cakap ini tidak bagus sebab pada akhirnya kita nak yang terbaik untuk Malaysia. Mungkin mereka dapat tawaran latihan lebih baik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di  ABM Bukit Kiara, di sini hari ini.

Rexy mengulas mengenai pemain beregu wanita Anna Cheong-Low Yeen Yuen yang dikhabarkan akan meninggalkan skuad negara secara rasmi hujung bulan ini.

Pada 1 Sept lepas, beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani telah mengucapkan selamat tinggal kepada akademi berkenaan.

Menurut Rexy, ABM akan mengadakan satu mesyuarat melibatkan pengurusan tertinggi pada 24 Sept ini bagi membincangkan rombakan barisan kejurulatihan serta keperluan mengecilkan jumlah pemain dalam skuad senior dan remaja kebangsaan.

Sementara itu, Rexy berkata barisan kejurulatihan giat meningkatkan prestasi atlet pelapis yang telah diserap ke dalam skuad senior bagi merapatkan jurang dengan dua gandingan utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah.

“Memang dalam kategori beregu lelaki belum ada sama tahap dengan Aaron-Wooi Yik namun mereka sudah nampak hasil manakala pemain beregu wanita baru berusia 16,17 dan 18 tahun,  dan masih memerlukan masa,” katanya. 

--  BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan