SUKAN > BERITA

Terbuka China 2024: Tiga Beregu Lelaki Negara Melangkah Ke Pusingan Kedua

17/09/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memulakan kempen Terbuka China 2024 dengan positif apabila menewaskan gandingan tuan rumah Chen Bo Yang-Liu Yi pada pusingan pertama hari ini.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu tugas mudah kerana pasangan ranking ke-12 dunia itu terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi Bo Yang-Liu dalam tiga set 17-21, 21-12, 21-19 yang mengambil masa 53 minit.

Nur Izzuddin mengakui walaupun menang, dia tidak berpuas hati dengan persembahan mereka hari ini.

“Saya rasa hari ini bukan persembahan terbaik kami. Kami agak tertekan pada peringkat permulaan, tetapi kami gembira kerana berjaya bangkit pada set kedua dan ketiga,” katanya dalam rakaman yang dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Menanti Sze Fei-Nur Izzuddin pada pusingan kedua Khamis ini ialah rakan senegara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King yang menewaskan pasangan Amerika Syarikat Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-11, 21-12.

Turut mara ke pusingan kedua ialah gandingan negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan pasangan China Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-17, 21-19.

Mereka akan berdepan pemenang satu lagi perlawanan pusingan pertama membabitkan gandingan Malaysia Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang bakal bertemu bekas juara dunia Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae dari Korea Selatan esok.

Dalam acara beregu campuran, pasangan profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Singapura Terry Hee Yong Kai dan Jessica Tan Wei Han 21-13, 21-15.

Mereka akan berdepan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand yang menerima ‘bye’ pada pusingan kedua.

Sementara itu, harapan wakil tunggal negara dalam perseorangan wanita Goh Jin Wei untuk mara ke pusingan seterusnya musnah setelah tumbang kepada pemain Taiwan Sung Shuo Yun dalam perlawanan tiga set 9-21, 21-12, 8-21.

Selain Jin Wei, pasangan beregu lelaki profesional negara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong turut tunduk pada pusingan pertama hari ini selepas tewas dalam pertarungan tiga set kepada pasangan berpengalaman England Ben Lane dan Sean Vendy 21-18, 19 -21, 15-21.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan