SUKAN > BERITA

Sukan Wushu, Karate Sah Dipertanding Di Sukan SEA Thailand - Kim Fatt

17/09/2024 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Dua sukan tempur yang merupakan lubuk emas negara, wushu dan karate sah akan dipertandingkan di Sukan SEA Thailand 2025, kata Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) Datuk Chong Kim Fatt. 

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata perkara itu diluluskan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) 5 Sept lepas pada mesyuarat dalam talian SEAGF bersama MOM.

Beliau berkata setakat ini 15 acara akan dipertandingkan bagi sukan wushu, namun persekutuan badan induk negara bagi sukan itu mahu membuat permohonan agar lebih banyak acara sukan itu dianjurkan pada temasya sukan dwi-tahunan berkenaan. 

“Thailand nak anjurkan 15 acara, tapi kita Malaysia tak setuju dan mahu sekurang-kurangnya 18 acara dipertandingkan, persekutuan akan cuba buat pemohonan untuk tambah lagi acara.

“Untuk sukan yang akan dipertandingkan, selain wushu, karate juga akan dipertandingkan, saya rasa tiada lagi sukan lain, tapi terpulang kepada Thailand sekiranya mahu anjur sukan lain,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Jun lepas, MOM memaklumkan akan mengemukakan rayuan kepada SEAGF untuk memasukkan beberapa sukan berpotensi pingat bagi Malaysia dalam temasya sukan berprestij itu selepas Thailand mencadangkan 40 sukan untuk dipertandingkan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla. 

Pada ketika itu, sukan karate dan wushu yang merupakan lubuk pingat emas negara termasuk ju-jitsu, boling padang dan sukan angkat berat dikeluarkan daripada senarai di Sukan SEA ke-33 yang dijadualkan dari 9 hingga 20 Dis depan.  

Sementara itu, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata pihaknya menyambut baik kelulusan diberikan penganjur untuk menyenaraikan sukan tempur berkenaan pada Sukan SEA Thailand 2025.

Bagaimanapun, beliau berkata masih belum mengetahui bilangan acara sukan karate yang bakal dipertandingkan di temasya berprestij itu.

“Ini adalah perkembangan positif untuk sukan karate. Bilangan acara itu mungkin seakan sama macam Sukan SEA yang lepas, tapi ia belum lagi diputuskan. Setakat ini, itu sahaja yang saya tahu pasal karate,” katanya.

Pada Sukan SEA edisi lepas di Kemboja, karate menyumbang empat pingat emas, dua perak dan empat gangsa, manakala wushu membawa pulang dua emas, dua perak dan enam gangsa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan