SUKAN > BERITA

Tiada Masalah Jika Harimau Malaya ‘Bergerak Sendiri’ - AFC

18/09/2024 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak melihat sebarang masalah sekiranya Harimau Malaya ‘bergerak sendiri’ pada masa depan.

Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor John berkata pihaknya juga tidak menyekat idea itu selagi pasukan bola sepak lelaki kebangsaan masih di bawah tanggungjawab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Pertama sekali, kita perlu melihat laporan bagaimana projek ini akan dilakukan, saya guna projek sebab semua yang akan dilakukan harus dilakukan di bawah penguasaan atau tanggungjawab FAM. Sebab itu perlu lihat dulu perincian siapa pihak pengurusan, siapa yang buat keputusan dan bagaimana dana diagihkan.

“Mana-mana projek dibuat harus di bawah tanggunjawab FAM sebab yang akan berurusan dengan AFC, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau mana-mana badan luar adalah FAM dan bukannya syarikat atau pengurusan lain malah tandatangan Setiausaha Agung FAM yang diambil kira, bukan orang lain kerana ini adalah kebiasaan dari segi pentadbiran, struktur mahupun tadbir urus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Persidangan Perubatan AFC 2025 yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr K. Nagulendran di sini hari ini.

Windsor berkata langkah itu pernah dilaksanakan sebelum ini melibatkan skuad muda negara sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja 1997 yang diuruskan badan lain di bawah kendalian bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Allahyarham Tan Sri Elyas Omar.

Walaupun berada di bawah FAM, beliau berkata badan itu diberi kuasa untuk memilih jurulatih yang mengendalikan pasukan remaja negara ketika itu.

“Malah (skuad bola sepak) Thailand sebelum ini pernah diuruskan pihak lain, dikendali seorang ahli perniagaan wanita dan bukan wakil persatuan mahupun pemegang taruh,” katanya.

Beliau pada masa sama berpendapat terma penswastaan yang digunakan dalam laporan media sebelum ini kurang tepat dan lebih sesuai sekiranya ditakrifkan sebagai satu projek.

Dalam satu perkongsian di laman sosial baru-baru ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail melontarkan idea agar pasukan kebangsaan bergerak berasingan termasuk berkongsi sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas itu.

Sementara itu, Windsor berkata Persidangan Perubatan AFC 2025 yang bakal berlangsung dari 21-25 Julai tahun depan bakal menekankan data dan maklumat kecederaan terkini termasuk pembentangan masalah kecederaan dihadapi pemain pada Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang kedua-duanya berlangsung di Qatar.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr K. Nagulendran menyambut baik penganjuran persidangan itu terutamanya dalam menarik perwakilan dari rantau Asia Tenggara kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan