SUKAN > BERITA

Taufan: Perasmian Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia 2024 Ditunda - ASTAF

18/09/2024 10:24 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Pantai Emas Qingdao, Shandong, China dari 20 hingga 23 Sept ini nyaris dibatalkan susulan kawasan sekitar venue pertandingan dilanda Taufan Pulasan.

Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataan berkata majlis perasmian kejohanan yang pada asalnya dijadualkan pada 7.30 malam esok (waktu tempatan) terpaksa ditunda sehari.

Beliau berkata bencana alam yang berlaku pada 17 Sept itu menyebabkan air laut melimpah ke pantai sekali gus menjejaskan gelanggang kejohanan yang disertai lapan negara termasuk China selaku tuan rumah.

“Kerajaan bandar raya Qingdao memaklumkan bahawa Taufan Pulasan mungkin melanda semula dan memberi amaran bahawa paras air laut boleh meningkat sehingga dua meter pada 19 Sept.

“Demi keselamatan pemain dan pegawai, ASTAF pada mulanya mempertimbangkan untuk membatalkan kejohanan. Bagaimanapun setelah menilai keadaan gelanggang utama yang tidak terjejas serta beberapa pasukan sudah tiba untuk penyesuaian awal kami memutuskan untuk menunda perasmiannya,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berkata masa perasmian kejohanan kekal pada 7.30 malam diikuti perlawanan pertama regu lelaki antara Thailand dan Korea Selatan pada 8 malam.

Abdul Halim yang juga Pengarah Teknikal Kejohanan menambah pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca dengan kerjasama penganjur dari China selain mengambil langkah berjaga-jaga.

“Sekiranya keadaan cuaca semakin buruk dan membahayakan keselamatan pemain, pegawai serta penonton, ASTAF dan penganjur tidak akan teragak-agak untuk membatalkan kejohanan ini,” katanya.

Kejohanan tersebut turut disertai Malaysia, Thailand, India, Vietnam, Korea Selatan, Iraq dan Filipina yang mempertandingkan dua acara iaitu regu (lelaki dan wanita) dan trio (lelaki).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan