SUKAN > BERITA

Bekas Presiden MTBC P S Nathan Meninggal Dunia

23/09/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bekas Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Datuk Dr P S Nathan meninggal dunia pada usia 90 tahun, petang semalam.

Berita duka itu diumumkan MTBC yang menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar buat seluruh komuniti boling.

"Beliau seorang pemimpin, mentor dan pembimbing yang hebat dalam komuniti boling. Kepimpinan berwawasan beliau bukan sahaja mengangkat boling Malaysia ke tahap bertaraf dunia malah memberikan inspirasi kepada ramai individu yang berpeluang menimba ilmu daripadanya.  

"Sumbangan beliau kepada sukan itu, di arena tempatan dan global, tidak ternilai," menurut kenyataan itu.

Nathan mengasaskan MTBC pada 1974 dan sejak itu menerajui badan induk tersebut sebelum meletakkan jawatan Mei lepas.

Mendiang meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

'Bapa boling' negara itu pernah membawa boling negara ke tahap tertinggi terutama pada dekad 1990an apabila nama Malaysia sangat dikenali dalam arena sukan itu pada tahap dunia khususnya menerusi Datuk Shalin Zulkifli.

Beliau merupakan antara atlet boling paling cemerlang dalam sejarah negara apabila meraih pelbagai kejuaraan pada peringkat kebangsaan, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan kejohanan dunia.

“Dia dan mendiang Peter Yap yang bawa naik nama boling dan MTBC daripada saya bergelar pemain junior hingga senior.

"Beliau banyak menabur bakti pada boling dan itu adalah hakikatnya. Pemergian beliau amat dirasai,” kata Shalin kepada Bernama.

Turut mencipta nama ketika MTBC di bawah kendalian mendiang ialah Sin Li Jane dan Muhammad Rafiq Ismail.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan