SUKAN > BERITA

Nova Optimis Tang Jie-Ee Wei Mampu Layak Ke Final Jelajah Dunia BWF

27/09/2024 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Peluang beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk layak ke Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) masih cerah meskipun akan terlepas Terbuka Artik dan Terbuka Denmark bulan hadapan akibat kecederaan yang menimpa Ee Wei.

Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata berdasarkan ranking semasa Jelajah Dunia BWF yang dikemas kini pada Selasa, beliau melihat pasangan itu masih di zon selesa apabila menghuni tangga kedua ketika ini.

“Peluang masih besar sebab kita lihat dalam ranking lima teratas, kebanyakan mereka sudah bertukar pasangan manakala yang berada di ranking lapan teratas pula kebanyakan pemain baharu dan prestasi mereka tidak konsisten.

“Jadi saya masih optimis peluang mereka untuk layak itu masih ada dan kita juga akan pantau ranking mereka selepas dua kejohanan itu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Semalam media melaporkan Ee Wei, 24, mengalami kemalangan di gimnasium ABM di sini Selasa lepas sehingga terpaksa menerima 16 jahitan berikutan terkena serpihan kaca selepas dia tergelincir ketika memegang dumbel.

Dalam pada itu, Nova memberikan bayangan pasangan yang berada di ranking kesembilan dunia itu berkemungkinan kembali beraksi selewat-lewatnya November ini di Terbuka Korea Masters.

“Kita akan tengok dulu selepas dua kejohanan ini kalau ranking (Final Jelajah Dunia BWF) mereka tidak elok mungkin akan masuk Korea Masters tetapi kalau sebaliknya mereka akan beraksi di Kumamoto (Jepun Masters) sahaja.

“Kita tak nak terlalu tergesa-gesa untuk mereka sertai kejohanan sebab kalau mereka tak cergas nanti beri kesan buruk,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan