SUKAN > BERITA

Hamilton Masih Terkenang Bahang Litar Sepang

29/09/2024 11:35 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Meskipun tujuh tahun telah berlalu, juara Formula Satu (F1) United Kingdom Sir Lewis Hamilton masih menyimpan kenangan berlumba dalam bahang panas Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini.

Pengalaman tersebut disifatkan pelumba Mercedes-AMG Petronas berusia 39 tahun itu sebagai menggentarkan dan mencabar, namun menyeronokkan.

"Perlumbaan di sini (Malaysia) adalah sangat esktrem kerana bahang yang kuat...apatah lagi kami berlumba pada waktu siang," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Di Sepang, suhu menjangkau 32 darjah Celcius dengan 70 peratus kelembapan.

"Ia sangat panas (untuk pemandu) dan sangat panas untuk tayar...sama seperti GP Singapura (baru-baru ini)," katanya.

Juara British itu menyifatkan perlumbaan F1 di trek Asia Tenggara sebagai lasak dan menuntut kekuatan fizikal ekoran suhu tinggi dan cuaca lembap.

Hamilton yang beransur pulih daripada strok haba selepas GP Singapura pada 22 Sept lepas, memilih Sepang sebagai litar paling ekstrem dari segi kepanasan.

Juara dunia tujuh kali itu, yang jatuh sakit sejurus menamatkan perlumbaan di negara jiran, turut dikecualikan daripada menghadiri sidang media wajib selepas Mercedes meminta pengecualian perubatan untuk pemandu mereka termasuk bagi George Russell.

“Ia sentiasa sangat panas di sini,” kata Hamilton dalam temu bual semasa singgah di Kuala Lumpur selepas GP Singapura.

Menurutnya beliau perlu sentiasa menghidratkan diri selepas mengalami strok haba selain masih berasa letih.

"Saya suka berlumba di Sepang, trek itu luar biasa, ia litar yang hebat... (tetapi) Singapura juga litar yang menyeronokkan," katanya.

Di GP Singapura, Russell meraih tempat keempat dan Hamilton di tempat keenam.

Seminggu sebelum itu, di GP Azerbaijan di Baku, Russell memperoleh tempat ketiga manakala Hamilton, yang memulakan perlumbaan dari lorong pit selepas penalti enjin Mercedes, menduduki tempat kesembilan.

SIC merupakan rumah kepada GP Malaysia antara 1999 dan 2017 sebelum digugurkan daripada kalendar F1 terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos.

Dalam perlumbaan terakhirnya di SIC pada 2017, Hamilton menduduki tempat kedua iaitu hanya 12.77 saat di belakang pelumba Red Bull, Mark Verstappen.

Mengulas lanjut mengenai cuaca panas dan lembap di rantau ini, Hamilton berkata: “Singapura sangat lembap walaupun pada waktu malam. Ia masih sangat mencabar dari segi fizikal, ia trek yang sangat tidak rata (bumpy) dan sangat panjang,” katanya.

Litar Marina Bay boleh dianggap antara litar paling mencabar secara fizikal dalam F1.

Ini kerana, seperti litar jalanan lain dalam jadual, termasuk Monaco, jalan lurus yang lebih pendek tidak memberikan masa untuk pemandu ‘menarik nafas’ selain ciri litar yang sempit dan berliku memerlukan pemandu untuk memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang perlumbaan.

Ditanya bagaimana beliau membuat persediaan untuk perlumbaan di bandar berbeza dan dalam keadaan dan zon waktu yang berbeza, terutamanya apabila acara diadakan berturut-turut dengan tempoh singkat untuk menyesuaikan diri, katanya: “Anda tidak boleh terlalu berat, jadi anda tidak boleh makan terlalu banyak. Kemudian, terdapat cabaran menguruskan masa tidur anda kerana zon waktu yang berbeza.”

Mengenai khidmatnya bersama pasukan Mercedes-AMG Petronas F1, yang akan ditinggalkannya selepas baki enam perlumbaan tahun ini, Hamilton berkata pencapaian yang dinikmati kedua-dua pihak dalam tempoh 11 tahun adalah luar biasa.

Hamilton yang menandatangani kontrak dengan pasukan itu pada penghujung 2012 akan menyertai Ferrari tahun depan. 

“Bertahun-tahun bersama, ia pengalaman yang hebat dan kami telah berkembang bersama dalam cara yang positif.

"Saya telah bersama mereka untuk tempoh yang agak lama. Saya akan sentiasa mendoakan mereka di Petronas, kesihatan dan kebaikan,” katanya ketika berucap pada ulang tahun ke-50 syarikat minyak dan gas Malaysia itu. 

“Saya berharap Petronas akan terus mendorong dan memacu perubahan. Saya rasa syarikat seperti ini mempunyai keupayaan untuk melakukannya di Malaysia, khususnya,” kata Hamilton sambil memuji Petronas kerana memberikan peluang kepada anak muda dalam pendidikan dan kerjaya, malah pendedahan kepada perlumbaan F1.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan