SUKAN > BERITA

LTdL 2024: Gleb Laung Amaran Awal, Tawan Peringkat Pertama

29/09/2024 03:14 PM

LANGKAWI, 29 Sept (Bernama) -- Pelumba Rusia Gleb Syritsa, mempamerkan kayuhan bertenaga  untuk menjuarai peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 melibatkan jarak 96.5 kilometer (km) dari Kuah mengelilingi Pulau Langkawi, di sini hari ini.

Pelumba pasukan Astana Qazaqstan berusia 23 tahun itu, terlebih dahulu melepasi garisan penamat dengan catatan masa dua jam empat minit 37 saat, pada perlumbaan berbasikal berprestij Asia itu.

Pelumba pasukan DSM-Firmenich PostNL, Casper Van Uden dan pelumba pasukan VF Group Bardiani CSF-Faizane, Lorenzo Conforti masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dalam perlumbaan yang berakhir secara penamat beramai-ramai itu.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Gleb unggul menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan (GC) dan Jersi Jingga (Raja Pecut).

Ia merupakan kemenangan peringkat kali keempat buatnya selepas memenangi peringkat pertama pada edisi 2022 selain peringkat kedua dan kelapan pada 2023.

"Ia perlumbaan yang baik untuk pasukan saya. Hari ini mereka melakukan tugas dengan amat baik terutama pada penghujung perlumbaan. Menuju ke garisan penamat, tidak terlalu berbahaya kerana ada rakan sepasukan melindungi saya.

“Pastinya saya sangat gembira, saya rasa saya boleh menang perlumbaan di peringkat lain. Kami ikut taktik yang dirancang, hanya menunggu masa yang sesuai untuk melakukan tujahan terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, pelumba negara Muhammad Nur Aiman Rosli mewakili Terengganu Cycling Team (TSG) mengungguli gelaran Pelumba Terbaik Asia (Jersi putih) selepas berhasil meraih tempat kedua pada dua zon pecutan dan satu zon pendakian.

Bagaimanapun, Nur Aiman Rosli yang mengumpul satu mata terlepas gelaran Raja Bukit (Jersi Polka Dot) kepada pelumba ARA Skip Capital, Tyler Tomkinson (dua mata) apabila menawan zon pendakian di Look Out Point.

Peringkat kedua esok dari Arau ke Butterworth, sejauh 154.5km, menawarkan tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar dan Sungai Petani.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan