SUKAN > BERITA

Skuad Badminton Remaja Negara Mula Langkah Kanan

30/09/2024 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) --Skuad badminton negara memulakan kempen Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2024 dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan penuh menewaskan Mongolia dan Norway di Nanchang, China, hari ini.

Pada saingan yang berlangsung di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang, anak buah Jeffer Rosobin tidak berdepan masalah apabila dengan mudah mengatasi Mongolia dengan keputusan 110-48 pada perlawanan sesi pagi.

Momentum kemenangan itu diteruskan pada sebelah petang apabila mereka menundukkan Norway dengan kemenangan meyakinkan 110-51, sekali gus mengukuhkan peluang untuk mara ke peringkat suku akhir.

"Pemain nampaknya sudah serasi dengan format baharu pertandingan... diharap mereka terus kekal fokus untuk perlawanan esok," kata Jeffer ketika dihubungi.

Untuk makluman, kejohanan kali ini menggunakan format baharu di mana setiap pasukan perlu bermain 10 perlawanan melibatkan dua perseorangan lelaki, dua perseorangan wanita, dua beregu lelaki, dua beregu wanita dan dua beregu campuran.

Setiap perlawanan dimainkan sehingga 11 mata dan pasukan pertama yang mencapai 110 mata akan diisahkan sebagai pemenang.

Skuad negara dijadualkan bertemu Estonia esok sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan C dengan menentang Belanda pada Rabu.

Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan akan mara ke suku akhir untuk meneruskan cabaran merebut gelaran juara dengan kali terakhir Malaysia memenangi kejuaraan pada tahun 2011 di Taiwan.

--BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan