SUKAN > BERITA

BAM Tidak Sambung Kontrak Hendrawan

01/10/2024 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan kontrak jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, yang bakal tamat Disember ini tidak akan disambung.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata jurulatih berusia 52 tahun itu dimaklumkan perkara tersebut dalam pertemuan pagi tadi.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Hendrawan kerana dia sudah menyumbang kepada BAM selama 15 tahun. 

“Beliau juga bantu BAM untuk dapat pingat perak di temasya Olimpik dan pernah bawa Lee Zii Jia jadi juara,” katanya ketika ditemui selepas latihan pasukan kebangsaan di ABM di sini hari ini.

Untuk rekod, Hendrawan mula berkhidmat di negara ini pada 2009 dan pernah menjadi jurulatih pelapis perseorangan lelaki negara.

Juara dunia 2001 itu juga pernah membimbing bekas jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei untuk meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016.

Dalam pada itu, Rexy turut mengumumkan penstrukturan semula barisan kejurulatihan skuad senior dan pelapis kebangsaan.

Menurut Rexy, rombakan itu dilakukan bagi menambah baik prestasi atlet terutamanya melibatkan perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita.

“Kita harap (dengan) penstrukturan semula ini kita boleh hasilkan lebih banyak juara. Kalau kita lihat sekarang sektor perseorangan lelaki dan wanita agak tiada perubahan (stagnant). Jadi perlu orang baharu yang boleh bawa pengetahuan baharu dan idea segar. 

“Kita telah mengenal pasti beberapa calon dan perkara paling penting, jurulatih itu adalah yang terbaik dan mempunyai idea untuk melakukan perubahan,” katanya.

Penstrukturan baharu yang berkuat kuasa serta-merta itu menyaksikan hanya ketua jurulatih sektor beregu campuran dan lelaki iaitu Nova Widianto dan Tan Bin Shen dikekalkan pada jawatan masing-masing manakala ketua jurulatih bagi sektor perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita akan diumumkan kelak.

Selain itu, beberapa jurulatih pasukan pelapis kebangsaan turut diangkat ke pasukan senior antaranya ketua jurulatih skuad pelapis negara, Jeffer Rosobin yang bakal menggalas tugas sebagai jurulatih perseorangan wanita.

Sementara itu, ketua jurulatih sektor beregu wanita Hoon Thien How dan jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock diberikan tanggungjawab baharu untuk melatih pasukan pelapis.

Berikut barisan kejurulatihan BAM yang baharu: 

 

Pengarah Kejurulatihan: Rexy Mainaky

 

Perseorangan lelaki

Ketua Jurulatih: (diumumkan kemudian)

Jurulatih: Alvin Chew, K Yogendran

Jurulatih Utama Pelapis: Datuk Tey Seu Bock

Jurulatih Pelapis: Goh Giap Chin

 

Perseorangan Wanita

Ketua Jurulatih: (diumumkan kemudian)

Jurulatih: Jeffer Rosobin, Misbun Ramdan Misbun

Jurulatih Utama Pelapis: Aaron Lee

Jurulatih Pelapis: Sylvia Kavita

 

Beregu Lelaki

Ketua Jurulatih: Tan Bin Shen

Jurulatih: Muhammad Miftakh, Poh Chai Boon

Jurulatih Utama Pelapis: Pang Cheh Chang

Jurulatih Pelapis: Hoon Thien How

 

Beregu Wanita

Ketua Jurulatih: (diumumkan kemudian)

Jurulatih: Ching Kai Feng

Jurulatih Pelapis: Amelia Anscelly

 

Beregu Campuran

Ketua Jurulatih: Nova Widianto

Jurulatih: Lutfi Zaim

Jurulatih Pelapis: Hazwan Jamaluddin

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan