SUKAN > BERITA

Pemain Kelab Belanda Tak Lepas Syarat Wakil Harimau Malaya

01/10/2024 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan pemain kelab Go Ahead Eagles dari Belanda Mats Deijl tidak melepasi syarat kelayakan untuk mewakili Malaysia melalui darah keturunan, demikian menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara tersebut disahkan FIFA melalui surat bertarikh 25 Sept lepas setelah FAM memohon pandangan badan induk bola sepak dunia itu mengenai status Deijl.

Menurut FAM berdasarkan penelitian dokumentasi berkaitan, pemain pertahanan berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyangnya dan bukan melalui datuk atau nenek seperti yang ditetapkan dalam syarat FIFA.

“Berdasarkan jawapan FIFA, FAM mengesahkan bahawa pemain ini tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya (ibu kepada datuk pemain) dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain seperti syarat ditetapkan FIFA.

“FAM bagaimanapun tetap berterima kasih kepada pemain ini atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, FAM memaklumkan sudah berhubung dengan beberapa pemain lain seperti dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan FIFA.

Berdasarkan Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat ditetapkan.

Syarat itu adalah pemain itu lahir di negara tersebut atau ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut atau datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut atau pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.

Sebelum ini, nama Deijl disebut-sebut sebagai pemain warisan terbaharu negara selain terdapat laporan mendakwa beliau akan membuat debut bersama skuad Harimau Malaya ketika Malaysia menentang New Zealand pada aksi persahabatan antarabangsa di Auckland, 14 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan