SUKAN > BERITA

TFCSB Nafi Tunggakan Gaji Pemain Sehingga Enam Angka

02/10/2024 02:50 PM

KUALA NERUS, 2 Okt (Bernama) -- Terengganu Footbal Club Sdn Bhd (TFCSB) menafikan dakwaan bahawa terdapat tunggakan gaji sehingga enam angka melibatkan bekas penyerang import Terengganu FC (TFC), Adisak Kraison.

Penafian itu dibuat dalam satu kenyataan di media sosial TFC selepas dakwaan tersebut tular dan turut dilaporkan beberapa media tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB Mohd Sabri Abas berkata pihaknya mengakui terdapat tunggakan pembayaran gaji melibatkan pemain kelahiran Thailand itu bagi Disember lepas yang mencecah lima angka.

"Pihak TFC menafikan mempunyai tunggakan sehingga enam angka seperti yang dilaporkan media tempatan dan tular di laman sosial.

"Sebaliknya, tunggakan tersebut hanya melibatkan lima angka pada Disember. Tahanan bayaran dibuat bagi memperhalusi pelbagai perkara dengan pihak ketiga seperti sewa rumah, kenderaan dan lain-lain sebagaimana termaktub dalam kontrak.

"Tuntutan selebihnya melibatkan pendahuluan diri, tiket penerbangan dan yuran tandatangan yang berjumlah lima angka. Perkara itu di dalam kemampuan TFC untuk menyelesaikannya," katanya.

Mengulas lanjut, Sabri berkata pihaknya telah menerima surat arahan penyelesaian daripada badan induk bola sepak dunia, Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 31 Ogos lepas.

Menurutnya TFCSB sedang mengambil langkah berkaitan dan akan menyelesaikan perkara tersebut dalam tempoh 45 hari yang diberikan FIFA.

"TFCSB sentiasa berhubung dengan pemain dan ejennya. Untuk makluman TFC tidak pernah dikenakan sebarang tindakan serius oleh FIFA sebelum ini dan sentiasa mematuhi notis serta arahan yang diberikan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan