SUKAN > BERITA

Kemenangan JDT Cetus Inspirasi Untuk Selangor Capai Kemenangan Pertama ACL 2

02/10/2024 02:33 PM

PETALING JAYA, 2 Okt (Bernama) -- Selangor FC mahu menjadikan kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai inspirasi ketika bersiap sedia untuk menentang kelab Filipina Dynamic Herb Cebu FC dalam perlawanan kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2 (ACL 2) 2024/25 di sini esok.

Ketua jurulatihnya Nidzam Jamil berkata Gergasi Merah ingin melakar kejayaan setanding pencapaian pasukan lain seperti JDT dan pasukan kebangsaan kerana ini bakal mengangkat lagi martabat bola sepak tempatan.

“Menyentuh mengenai ACL, ini petanda positif bagi kelab Malaysia untuk mempamerkan prestasi cemerlang dalam kejohanan antarabangsa. Kami juga mahu mencontohi pencapaian baik yang bukan sahaja oleh JDT malah juga pasukan kebangsaan kerana ia dapat membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Kami sangat gembira kerana JDT dan kami menyertai kancah bola sepak Asia di peringkat lebih tinggi dengan JDT bersaing dalam ACL Elite dan kami dalam ACL 2,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan bertemu Dynamic Herb Cebu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai sama ada kemenangan JDT dalam Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) 2024/25 semalam memberikan inspirasi kepada Selangor untuk mengintai tiga mata. 

Pasukan Harimau Selatan itu mencipta sensasi selepas meraih kejuaraan sulung dalam ACL Elite dengan menewaskan wakil China Shanghai Shenhua FC 3-0 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Nidzam berkata Selangor mempunyai pendekatan tersendiri untuk melakar kemenangan.

“ … kami tidak terpengaruh dengan keputusan pasukan lain, kami mempunyai cara sendiri dan perlawanan esok akan ditentukan oleh usaha kami. Kami enggan bebankan diri dengan apa jua tekanan yang tidak perlu sebaliknya menumpukan kepada kekuatan pasukan kami,” katanya.

Sementara itu, Kapten Selangor Muhammad Safuwan Baharudin berkata pasukan berada pada tahap terbaik terutama setelah meraih kemenangan penting 1-0 di tempat lawan ketika menentang Terengganu dalam perlawanan Liga Super pada Sabtu lepas. 

“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini kami sudah beraksi dengan baik dan bermain dalam beberapa perlawanan yang berbeza. Skuad kami berada pada tahap yang baik dan itu juga menjadi kekuatan utama dalam pasukan kami,” kata pemain kebangsaan Singapura berusia 33 tahun itu.

Untuk rekod, Selangor seri 1-1 ketika menentang Muangthong United dari Thailand manakala Dynamic Herb Cebu tewas 0-6 kepada kelab Korea Selatan Jeonbuk Hyundai Motors dalam perlawanan pertama kumpulan. 

Setakat ini, Selangor mengekalkan rekod kemenangan di tempat sendiri dalam semua pertandingan musim ini sekali gus menyuntik motivasi dalam misi mengumpul tiga mata pertama esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan