SUKAN > BERITA

Dynamic Herb Cebu Idam Lebur Rekod Cemerlang Selangor Di Tempat Sendiri

02/10/2024 03:24 PM

PETALING JAYA, 2 Okt (Bernama) -- Kelab Filipina Dynamic Herb Cebu FC menaruh cita-cita besar untuk meraih kemenangan ke atas Selangor FC dalam saingan kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia 2 (ACL 2) 2024/25 di sini malam esok.

Ketua jurulatih berkenaan Mustafa Ati Goksu berkata pasukannya yang masih belum memperoleh sebarang mata telah bertandang ke sini dengan satu matlamat iaitu untuk menang.

Beliau berkata pasukannya telah membuat persiapan rapi untuk perlawanan ini, menyedari bahawa berdepan dengan Gergasi Merah kendalian Nidzam Jamil yang mempunyai rekod cemerlang di tempat sendiri musim ini bukanlah tugas mudah.

“Kami mempersiapkan diri dengan rapi untuk perlawanan ini, kami tahu ia bukan perlawanan yang mudah tetapi yakinlah kami akan melakukan segala-galanya untuk memberikan aksi yang baik esok dan matlamatnya adalah untuk menang. Sudah tentu, ini adalah padang baru dan suasana baru kerana bermain di halaman Selangor tetapi sekali lagi kami bersedia dengan rapi untuk perlawanan ini.

“Kami tahu siapa yang kami hadapi. Kami akan melihat perkara ini dari sudut positif. Paling penting saya percaya kepada pemain-pemain saya, pengurusan serta barisan jurulatih dan semua akan bekerja keras untuk mencapai sasaran esok,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Turut sependapat adalah pemain pertahanan tengah baharu Dynamic Herb Cebu Samuel Strong yang bertekad membantu pasukan mencapai keputusan positif.

“Kami telah bersiap sedia dengan baik dan bekerja keras, kami akan melakukan yang terbaik dan sudah tentu kami bermain untuk menang, jadi kami akan turun padang untuk mendapatkan kemenangan,” kata bekas pemain Rajpracha FC itu.

Untuk rekod, Selangor seri 1-1 dengan kelab Thailand Muangthong United manakala Dynamic Herb Cebu tewas 0-6 kepada Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan dalam perlawanan pertama kumpulan masing-masing.

Setakat ini, Selangor mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus di tempat sendiri dalam semua pertandingan musim ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan