SUKAN > BERITA

Mirabel Beraksi Kali Pertama Di LPGA Menerusi Jemputan Kejohanan Maybank

02/10/2024 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pemain golf amatur wanita terbaik negara Mirabel Ting mendapat peluang untuk beraksi dengan pemain ternama dunia dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) selepas menerima jemputan penaja untuk menyertai Kejohanan Golf Maybank 2024.

Atlet berusia 19 tahun yang berasal dari Sarawak itu bersama pemain golf wanita profesional terkemuka negara Ashley Lau dan duta ASEAN Maybank Kelly Tan menerima jemputan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang bakal berlangsung di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) dari 24-27 Okt ini.

Selain ketiga-tiga mereka, pemain profesional Liyana Durisic dan Durriyah Damian yang berjaya meraih tempat menerusi Kelayakan ASEAN pada Ogos lepas akan melengkapkan cabaran Malaysia dalam kejohanan bernilai US$3 juta (kira-kira RM12.5 juta) itu.

Mirabel berkata dia sangat gembira kerana berpeluang beraksi dalam Jelajah LPGA buat kali pertama yang merupakan antara impian zaman kanak-kanaknya.

“Ia adalah impian saya sejak kecil dan untuk peluang ini muncul secepat ini adalah sesuatu yang menakjubkan. Saya hanya mahu pergi ke sana dan bersaing dengan pemain terbaik dunia, belajar daripada mereka pada minggu berkenaan dan selebihnya kita lihat apa yang akan berlaku.

“Saya pernah bermain di West Course KLGCC sebelum ini, lapangan ini panjang dengan banyak fairway bunker. Susun aturnya memerlukan pengurusan lapangan yang baik supaya dapat menunjukkan prestasi yang mantap,” katanya dalam kenyataan penganjur.

Pemain golf berpangkalan di Amerika Syarikat itu yang bermain untuk Florida State University baru-baru ini mencatatkan kemenangan individu kedua berturut-turut di Kejohanan Schooner Fall Classic, menjadi pemain golf ketiga dalam sejarah negeri Florida yang menang dalam penampilan sulung secara berturut-turut.

Kemenangan itu melonjakkan Mirabel ke tempat kelapan dalam Kedudukan Golf Amatur Dunia (25 Sept). Ia merupakan ranking tertinggi pemain Malaysia sejak Natasha Oon mencapai kedudukan ketujuh pada 2022, selepas mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mencatatkan kejayaan di Kejohanan Amatur Wanita Kebangsaan Agusta dengan mengakhiri pertandingan berprestij itu di tempat kelapan. 

Ashley, seorang lagi pemain golf dari Sarawak kini bermain di siri sirkit pembangunan LPGA iaitu Jelajah Epson dan berada di kedudukan ke-64 dalam ranking Race For The Card jelajah itu.

Beliau juga merupakan satu-satunya pemain golf wanita Malaysia di Sukan Olimpik Paris pada Ogos lepas meraih gelaran profesional sulung di Terbuka Wanita Victoria pada Jelajah PGA Wanita Australasia.

Menjadi sebahagian daripada Jelajah LPGA hujung tahun Asia, Kejohanan Golf Maybank menampilkan bintang terkemuka termasuk pemain nombor satu dunia Nelly Korda dari Amerika Syarikat, juara bertahan Celine Boutier dari Perancis dan naib juara 2023 Atthaya Thitikul dari Thailand yang tewas pada ‘play-off’ sembilan lubang kepada Boutier.

Barisan 78 pemain yang bakal menyertai kejohanan itu termasuk pemain nombor dua dunia Lilia Vu dari Amerika Syarikat, pemenang Kejohanan Amundi Evian 2024 Ayaka Furue dari Jepun, bekas pemain nombor satu dunia Ruoning Yin dari China dan juara dua kali Terbuka Wanita Amerika Syarikat Yuka Saso dari Jepun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan