SUKAN > BERITA

TFC Kecewa Terlepas Tiga Mata

05/10/2024 11:54 AM

KUALA NERUS, 5 Okt (Bernama) -- Pengendali sementara Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mengakui kecewa apabila skuad bimbingannya gagal memanfaatkan banyak peluang keemasan yang terhidang untuk mendapatkan tiga mata penuh dalam aksi menentang PDRM FC, malam tadi. 

Beliau yang baru dilantik Selasa lepas bagi menggantikan bekas ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner berkata dengan keputusan seri 1-1 di laman sendiri menjadi panduan penting untuknya memberi lebih banyak “kerja rumah” kepada barisan penyerang. 

"Secara keseluruhan malam ini memang ada peningkatan dari segi permainan tapi kalau tengok dari penyudah dan penyerang saya rasa banyak perkara kena tingkatkan untuk perlawanan seterusnya oleh barisan penyerang. 

"...memang kecewa tapi melihat keseluruhan kita dah seri lima kali, jadi kita kena perbaiki untuk perlawanan yang akan datang," katanya selepas perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam tadi.

Beliau juga mengakui penyerang import El Salvador Nelson Bonilla memerlukan sedikit masa lagi untuk mencipta keserasian dengan barisan pemain tengah Sang Penyu.

"Nak kata belum serasi saya rasa dalam latihan kita ada buat gabungan antara pemain tengah dengan penyerang. Mungkin dia (Bonilla) memerlukan masa sikit untuk mencipta keserasian dengan pemain lain," katanya. 

Gol skuad Penyu dihasilkan Bonilla pada minit ke-44 sebelum terikat dengan gol penyamaan Skuad Sang Saka Biru oleh Chidi Emma Osuchukwu pada minit ke-53, iaitu hanya lapan minit selepas babak kedua bersambung.

Selepas sebelas perlawanan TFC kekal di tangga ketiga liga dengan 17 mata manakala PDRM FC naik satu anak tangga ke kedudukan kelima selepas mengumpul 15 mata.

Sementara itu, memuji permainan dipamerkan anak buahnya, ketua jurulatih PDRM FC P. Maniam berkata tambahan satu mata umpama satu kemenangan kepada Skuad Sang Saka Biru yang sebelum ini berada di tangga ketujuh carta liga. 

Mengakui silap percaturan apabila perancangan untuk bertahan pada babak masa pertama dihancurkan Bonilla, beliau berkata pasukannya mengambil risiko membuat perubahan dalam sistem pemain sebelum kembali ke landasan untuk mengawal permainan apabila menyamakan kedudukan pada babak kedua. 

"Sebenarnya pada separuh masa pertama kita mahu bertahan kalau boleh 0-0, babak kedua baru kembali lebih kuat malangnya TFC berjaya jaringkan gol terlebih dahulu. Jadi, saya beritahu pemain supaya yakin dengan permainan, percaya pada diri dan rakan sepasukan...kita boleh dapat mata di sini.

"Saya rasa tahun ini prestasi kita lebih baik. Kami bermain dengan pasukan yang kuat dan boleh kutip mata. Mengenai kedudukan (dalam carta) kita ada 13 perlawanan lagi, jadi ini proses yang lama kerana perlawanan ini seperti satu maraton," katanya sambil mengakui pertahanan PDRM FC masih lemah dan berazam untuk memperbaiki barisan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan