SUKAN > BERITA

Skuad Remaja Mampu Tambah Koleksi Pingat - Jeffer

05/10/2024 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad remaja negara Jeffer Rosobin optimis anak buahnya mampu menambah kutipan pingat pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 berlangsung di Nanchang, China.

Berdasarkan prestasi semasa pemain negara yang memenangi pingat gangsa dalam acara berpasukan minggu lepas, beliau optimis mereka mempunyai peluang besar dalam acara individu.

“Saya harap pemain fokus untuk memanfaatkan peluang ini. 

“Kita mesti mengekalkan kestabilan dan lebih konsisten dari awal sampai akhir, kita mesti menjaga momentum,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Skuad remaja kebangsaan meraih gangsa selepas tewas kepada China 110-76 dalam aksi separuh akhir, semalam.

Keputusan dicatat Malaysia itu menyaksikan pasukan negara mengulangi pencapaian pada edisi lepas yang berlangsung di Washington, Amerika Syarikat setelah tunduk kepada lawan sama di separuh akhir. 

Sementara itu, Jeffer berpuas hati dengan format baharu yang digunakan pada kejohanan dunia berprestij itu. 

“Kita dapat gangsa, cukup puas hati kerana dengan sistem baharu ini kita perlu menyesuaikan diri dan pasukan negara berjaya melakukannya,” katanya. 

Berdasarkan format baharu yang digunakan pada edisi kali ini, setiap pasukan perlu beraksi sebanyak 10 perlawanan iaitu dua bagi setiap kategori membabitkan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Setiap perlawanan hanya bermain hingga 11 mata dan pasukan pertama yang mencapai 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan