SUKAN > BERITA

Jazeman Mahu Kekal Momentum Di Sukan Permotoran FIA Di Valencia

07/10/2024 04:24 PM

Oleh Farah Najihah Zuraimi

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Selepas menaiki podium pada tiga pusingan Lamborghini Super Trofeo Asia 2024, pelumba berpengalaman Jazeman Jaafar berazam mengekalkan momentum pada Sukan Permotoran Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) 2024 yang akan berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol dari 23 hingga 27 Okt  ini.

Pelumba berusia 32 tahun itu berharap dapat membawa pulang pingat pada penampilan sulungnya di FIA sebagai penghargaan atas pemilihannya mewakili Malaysia di pentas berprestij berkenaan yang dianggap ibarat ‘Sukan Olimpik’ dunia permotoran.

“Saya pernah berlumba di litar Valencia pada 2008 selain 'shakedown (testing)' pada 2017-2018. Kereta Lamborghini Huracan GT3 yang akan digunakan buat kali pertama (sebab setting kereta berbeza) jadi saya harap momentum kemenangan dua podium sebelum ini dapat dibawa ke peringkat antarabangsa. 

“Setiap kali menyertai kejohanan paling penting ialah 'setting' kereta. Saya bersyukur ada rakan sepasukan yang berpengalaman selain akan ada 'transfer data' untuk membantu dalam perlumbaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Jazeman bagaimanapun mengakui perlu berwaspada terhadap saingan daripada pasukan United Kingdom dan Jerman yang dilihat menghantar pelumba ‘berpengalaman’. 

Jazeman sebelum ini menamatkan saingan tiga pusingan Lamborghini Super Trofeo Asia 2024, masing-masing di tempat kedua di The Bend Motorsport Park, Adelaide, Australia (Jun) dan juara di Fuji Internatiomal Speedway, Jepun (Ogos) dan Shanghai International Circuit, China (September) bersama Selim Rafique menerusi kategori Pro-Am. 

Beliau akan menggalas cabaran negara bagi kategori GT Sprint manakala Selim dan Weiron Tan akan bersaing dalam kategori GT yang kesemuanya akan menggunakan jentera Lamborghini Huracan GT3.

“Saya akan bertanding dalam kelas GT atas lesen 'bronze' yang dimilikinya dan berjanji akan mempamerkan persembahan terbaik untuk meraih pingat,” kata Selim. 

Ini kali ketiga Malaysia bersaing di FIA Motorsport Games dengan penampilan sulung negara pada tahun 2019 di Itali yang menyaksikan pemenang eRacing GP 2019 Mior Muhamad Hafiz menduduki tempat kelapan dalam Piala Digital.

Pada 2022 di Perancis, Naquib Azlan mengatasi pesaing dari lebih 60 negara dan layak sebagai finalis dalam Piala Esports.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan