SUKAN > BERITA

Abdullah Sani Janji Selesaikan Masalah Gaji, Jika Terpilih Presiden KLFA

10/10/2024 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Calon Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berjanji akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji Kuala Lumpur (KL) City FC sekiranya beliau menang dalam kongres pemilihan, Sabtu ini.

Abdullah Sani berkata beliau dan barisan kepimpinan yang bakal dilantik bertekad untuk memperbaiki kedudukan kewangan skuad warga kota, bagi memastikan pasukan itu bebas daripada isu tunggakan gaji.

“Perkara utama yang perlu diselesaikan adalah isu gaji. Mana-mana calon bertanding pasti mempunyai objektif yang sama, kerana masalah ini tidak boleh dibiarkan.

“Saya juga akan mencari solusi bagi menangani masalah kewangan dalaman, termasuk melalui kerjasama dengan syarikat swasta yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemegang saham KL City,” katanya kepada media semalam.

Abdullah Sani, yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), turut menyatakan hasrat untuk mengembalikan kegemilangan KL City sebagai pasukan yang digeruni.

Abdullah Sani berkata gabungan barisan politik dan korporat yang hampir kesemuanya terdiri daripada muka baharu diyakini mampu merealisasikan impian menyelesaikan masalah yang dihadapi KL City.

Pemilihan kongres KLFA Sabtu ini akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan presiden antara Abdullah Sani dan Naib Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar, setelah pencalonan ditutup pada 26 Sept lepas.

Syed Yazid, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), meraih pencalonan tertinggi dengan 15 sokongan daripada 27 ahli gabungan persatuan itu.

Abdullah Sani, yang merupakan pemangku Presiden KLFA sebelum ini, mendapat 12 sokongan, melepasi syarat 40 peratus pencalonan bagi merebut kerusi Presiden KLFA.

Bagi dua kerusi Timbalan Presiden pengarah dan penerbit terkenal Datuk Afdlin Shauki yang bergandingan dengan Datuk Azril Mat Drus akan dicabar oleh tokoh korporat Datuk Seri Wong Yeon Chai dan veteran bola sepak tanah air Datuk Kamarudin Hassan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan