SUKAN > BERITA

1,800 Atlet Sertai Ironman 70.3, Ironman Malaysia Di Langkawi, Sabtu Ini

10/10/2024 10:28 PM

LANGKAWI, 10 Okt (Bernama) -- Seramai 1,800 atlet dari lebih 50 negara bakal berentap untuk membuktikan kekuatan dan kecergasan masing-masing pada Kejohanan Ironman 70.3 dan Ironman Malaysia 2024 di Langkawi pada Sabtu ini.

Pengarah Serantau Asia Ironman Group CG Lim berkata kejohanan tahun ini menyaksikan penyertaan atlet profesional paling ramai dengan 60 peserta berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun ini sambutan yang diterima memang luar biasa daripada atlet profesional, Ironkids dan peserta berkumpulan dalam kategori Ironman 70.3.

“Ramai yang ingin menyertai kejohanan ini tetapi mereka tidak yakin dapat habiskan semua disiplin iaitu berenang, berbasikal, dan larian. Jadi, ini adalah platform untuk memberikan pendedahan kepada mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

“Tahun ini kita juga telah meningkatkan aspek keselamatan terutamanya untuk disiplin berenang dengan lebih sembilan agensi keselamatan terlibat bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku,”katanya.

Bagi Ironman Malaysia, ia melibatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan larian 42.2km manakala Ironman 70.3 pula melibatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 1.9km, berbasikal 90km dan larian 21.1km.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 31,merupakan salah seorang peserta dalam Ironman Malaysia.

Beliau berkata bahawa ini adalah penyertaan sulung dan berazam untuk melakukan catatan masa yang baik untuk dirinya.

“Sebelum ini saya menyertai Ironman 70.3 sahaja tetapi kali ini memang hendak cabar diri dengan menyertai Ironman Malaysia. Kalau diikutkan saya tidak memiliki fizikal yang kuat tetapi saya mahu buktikan bahawa dengan adanya disiplin dan keinginan, saya juga mampu untuk bergelar Ironman.

“Saya berlatih pagi dan malam secara fizikal dan mental sebagai persediaan untuk hadapi apa juga keadaan nanti tetapi dalam masa sama, saya tidak mengabaikan tugas hakiki saya di Parlimen dan di Muar, kawasan tetap saya jaga,” katanya.

Syed Saddiq berkata beliau mendedikasikan penyertaan dalam Ironman Malaysia ini kepada ibu bapa yang banyak memberi sokongan dan mendidiknya menjadi seorang insan yang berdaya tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan