SUKAN > BERITA

Pearly-Thinaah Terus Tampil Hebat, Hampiri Gelaran Kedua

13/10/2024 01:57 AM

KUALA LUMPUR, 12 Okt  (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah semakin menghampiri gelaran kedua mereka tahun ini selepas mengesahkan tempat ke final Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland hari ini. 

Dalam aksi separuh akhir kejohanan Super 500 itu di Energia Areena, Pearly-Thinah yang turun sebagai pilihan ketiga dipaksa mengharungi pertarungan sengit yang berlarutan selama 1 jam 42 minit sebelum mengetepikan pilihan kedua Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun, 21-19, 19-21, 26-24.

Situasi final terbuka Hong Kong 2024 ketika pasangan nombor tujuh dunia itu membawa pulang gelaran pertama pertama mereka, mungkin berulang jika gandingan pilihan utama Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China berjaya menewaskan rakan senegara Li Yi Jing-Luo Xu Min, dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung awal pagi Ahad (waktu Malaysia). 

Bulan lepas, Pearly-Thinaah menewaskan Sheng Shu-Tan Ning, 21-14, 21-14, untuk dimahkotakan sebagai juara Terbuka Hong Kong 2024. 

Pearly-Thinaah akan menyertai pasangan profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam aksi final esok selepas terdahulu gandingan nombor lapan dunia itu mengejutkan pilihan utama dari China Liang Wei Keng-Wang Chang, 19-21, 21-17, 21-18, dalam aksi separuh akhir. 

Pilihan kelima itu akan berdepan juara bertahan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen selepas pasangan pilihan kedua dari Denmark tersebut mengalahkan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand, 21-14, 21-19.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan