SUKAN > BERITA

MSAF Promosi Sukan Udara Untuk Dipertandingkan Di Sukan SEA

13/10/2024 07:31 PM

SERDANG, 13 Okt (Bernama) -- Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) berharap Kejohanan Sukan Udara 2024 yang julung kali diadakan di negara ini dapat mempromosikan beberapa acara lagi untuk dipertandingkan di Sukan SEA. 

Presiden MSAF Mohd Nurhaqimy Ismail berkata ia selepas dua daripada cabang sukan tersebut iaitu paragliding dan paramotor sudahpun dipertandingkan di temasya sukan dwitahunan itu sebelum ini.

"Kami nak naikkan nama sukan udara sebab selama ini ia masih lagi yang dipanggil sebagai sukan rekreasi. Orang awam masih belum faham apa itu sukan udara, justeru menjadi matlamat kami untuk melihat lebih ramai lagi menceburi sukan ini,” katanya kepada Bernama sempena hari terakhir Kejohanan Sukan Udara 2024 di sini hari ini.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa sukan udara adalah sukan lasak dan berbahaya malah sesetengah acara sukan itu sudah dipertandingkan di peringkat negeri. 

Mohd Nurhaqimy berkata pihaknya juga telah mengadakan beberapa perbincangan bersama Kesatuan Sukan Udara Asia untuk mengembangkan lagi sukan berkenaan sekali gus membawa ke peringkat antarabangsa. 

 “Kita jangka dua tahun lagi untuk bawa sukan udara ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kejohanan Sukan Udara 2024 yang juga merupakan festival sukan udara bermula Jumaat hingga hari ini bertujuan mengangkat nama sukan itu yang kian mendapat tempat di hati peminat baik dari dalam mahupun luar negara.

Sebanyak 40 gerai pameran melibatkan jabatan dan agensi dibuka sempena festival itu selain pameran aset dan jentera oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan acara menarik yang dipertandingkan seperti paramotor, paragliding, aeromodelling dan dron.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan