SUKAN > BERITA

Mahali Rindu Memori Harimau Malaya Julang Piala AFF

14/10/2024 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Bekas pemain pertahanan negara Mahali Jasuli mengakui memori indah bersama skuad Harimau Malaya menjulang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 yang kini dikenali sebagai Piala ASEAN masih tersemat dalam ingatannya.

Beliau berkata kejayaan pertama negara itu telah mencipta satu aura positif buat pasukan yang ketika itu dikendalikan Datuk K. Rajagopal.

“Sudah lama, saya pun tunggu (julang Piala AFF) macam penyokong sendiri sekarang ini, kali terakhir kita menang pada 2010 dan ia satu kenangan bagi saya.

“Saya harap kita boleh menang lagi, kita tahu bila menang (Piala AFF) ia beri aura tersendiri dan boleh lihat rakyat semua bersatu, di mana-mana pun boleh lihat mereka semangat sarung jersi Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Siri Jelajah Piala ASEAN 2024.

Pada masa sama beliau berharap skuad Harimau Malaya yang ketika ini dibimbing Pau Marti Vicente dapat mengembalikan semula aura berkenaan apabila mengharungi saingan bermula Disember ini.

“Saya dah lama main dengan skuad kebangsaan, jadi saya pernah rasa aura itu. Kita sampai ke aksi final dan boleh lihat penyokong membanjiri stadium dan pergi ke ‘mamak’. Jadi saya harapkan ia boleh berulang lagi jika kita (skuad) buat sesuatu,” katanya.

Mahali pada masa sama mahu isu membabitkan penarikan sokongan segelintir penyokong (pemain ke-12) pada perlawanan baru-baru ini tidak menjejaskan semangat skuad Harimau Malaya untuk menamatkan penantian 14 tahun menjulang piala berkenaan.

Malaysia muncul juara Piala AFF pada 2010 selepas menumbangkan Indonesia di final menerusi agregat 4-2.

Kejayaan itu adalah yang pertama dan terakhir buat skuad negara selepas sekadar muncul naib juara tiga kali iaitu pada 1996, 2014 dan 2018.

Pada edisi kali ini skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, diikuti Singapura, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste.

Kumpulan B pula menampilkan Vietnam bersama-sama Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan