SUKAN > BERITA

Harimau Malaya Gagal Tandingi Kehebatan New Zealand, Tewas 0-4 Di Auckland

14/10/2024 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) --Skuad bola sepak kebangsaan gagal menandingi kehebatan pasukan ke-95 dunia, New Zealand, selepas tewas 0-4 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland, hari ini.

Kesemua empat gol New Zealand hadir di separuh masa kedua perlawanan selepas kedudukan terikat tanpa jaringan di babak pertama di sebalik lambakan peluang yang berjaya dicipta pasukan tuan rumah.

Pada pertembungan pertama kedua-dua pasukan selepas 18 tahun itu, skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente bermula perlahan dan bergelut untuk mencari rentak permainan, menyaksikan New Zealand unggul mendominasi penguasaan bola.

Penyerang New Zealand Ben Waine hampir meletakkan pasukannya di depan seawal minit ketiga, namun penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bertindak pantas untuk menggagalkan percubaannya dalam situasi satu lawan satu.

Ahmad Syihan kemudian menyelamatkan rembatan dari jarak dekat Elijah Just pada minit ke-12 untuk menafikan gol pertama New Zealand sebelum Ben Old terlepas peluang keemasan untuk meledak gol pembukaan apabila tandukannya sedikit melewati palang pada minit ke-15.

Selepas mengawal gawang negara dengan baik di babak pertama, Ahmad Syihan akhirnya tewas menerusi serangan balas pantas disudahkan Just yang tidak dikawal dalam kotak penalti sekali gus menjaringkan gol pembukaan New Zealand pada minit ke-53.

Tersentak dengan gol itu, Malaysia di ranking dunia ke-132 cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi sebaliknya New Zealand menggandakan jaringan selepas Matthew Garbett menyudahkan hantaran Liberto Cacace pada minit ke-61.

Kemasukan penyerang Nottingham Forest Chris Wood menambah derita Malaysia apabila pemain berusia 32 tahun itu mencetak gol ketiga New Zealand melalui tandukan pada minit ke-72 untuk ‘membunuh’ semangat pasukan negara yang ketika itu sedang berusaha bangkit merapatkan jurang kedudukan.

Di penghujung permainan, tatkala Malaysia cuba mempertahankan kedudukan semasa, pemain gantian Logan Rogerson melengkapkan kemenangan bergaya skuad yang diberi julukan All Whites itu apabila menyumbat gol keempat pasukan pada minit ke-90.

Ini merupakan kekalahan pertama Malaysia selepas empat perlawanan kompetitif di bawah kendalian Vicente sejak pengendali dari Sepanyol itu mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya susulan peletakan jawatan mengejut Kim Pan Gon pada Julai.

Sebelum ini, Malaysia hanya tewas 1-2 di tangan New Zealand ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada Februari 2006 di Auckland.

Sebagai rekod, ini merupakan aksi pertama New Zealand di gelanggang sendiri sejak menewaskan China 2-1 pada Mac 2023 kerana pasukan itu telah bermain di tempat lawan menentang pasukan seperti Mexico, Amerika Syarikat, Ireland dan Greece.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan