SUKAN > BERITA

Prestasi Pengurusan Pasukan, Pemain Harimau Malaya Tidak Berdaya Saing - Pekan Ramli

15/10/2024 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Prestasi pengurusan dan para pemain skuad bola sepak kebangsaan disifatkan sebagai lemah dan tidak berdaya saing, ekoran kekalahan 0-4 kepada New Zealand pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland, semalam.

Penganalisis bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berpandangan, kekalahan besar itu menggambarkan kelemahan berterusan dalam aspek mengendalikan pasukan kebangsaan, kerana masalah berkenaan bukan pertama kali berlaku.

“Pelbagai alasan diberikan tanpa mengakui kepincangan pihak pengurusan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Selain kelemahan pengurusan, Pekan turut mengkritik aspek persembahan pemain di atas padang selepas pasukan mempamerkan prestasi yang mengecewakan biarpun dibarisi pemain utama yang berpengalaman.

“Pemain beraksi longlai, kawalan dan penguasaan bola yang lemah, tidak bersemangat dan tidak kompetitif, walaupun kesebelasan utama dibarisi pemain-pemain berwajah hebat seiras juga dengan pemain-pemain New Zealand.

“Namun persembahan ‘Demi Lencana Di Dada’ itu tidak begitu menonjol, malah komitmen mereka di padang boleh dipertikaikan peminat,” kata Pekan.

Beliau turut membangkitkan pendekatan Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Pau Marti Vicente yang dilihatnya masih ‘bereksperimen’ walaupun sudah mempunyai pengalaman bersama pasukan lebih dua tahun sebagai pembantu kepada Kim Pan Gon.

Pekan berkata ketidakpastian Vicente dalam merangka strategi pada perlawanan semalam menyebabkan corak pemain pasukan negara tidak konsisten.

“Faktor terakhir sudah pastilah tertumpu kepada percaturan Vicente. Beliau sepatutnya sudah lebih mengenali skuad ini ketika bersama Pan Gon sebagai pembantu jurulatih. Kelebihan itu tidak digunakan sebaik-baiknya oleh Vicente,” katanya.

Pekan berkata perubahan segera perlu dilakukan dalam pelbagai aspek, termasuk pemilihan jurulatih dan strategi jangka panjang bagi memastikan Malaysia bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran pusingan kelayakan Piala Dunia 2030/ Piala Asia 2031.

“Kita sudah pun gagal layak ke Piala Dunia 2026 dan nasib umpama ‘di hujung tanduk’ untuk layak ke Piala Asia 2027. Jadi fikirlah ke depan dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) buatlah perancangan strategik dengan segera,” katanya.

Semalam, Malaysia tumpas 0-4 kepada New Zealand pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan dalam tempoh 18 tahun, selepas kali terakhir pada 2006 yang berkesudahan New Zealand menang 2-1.

Ini adalah kekalahan pertama Malaysia selepas empat perlawanan kompetitif di bawah kendalian Vicente, sejak pengendali dari Sepanyol itu mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya daripada Pan Gon yang meletak jawatan secara mengejut pada Julai lepas.

Bulan lepas, Vicente membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 2024 di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan