SUKAN > BERITA

UCI Setuju Pusat Kecemerlangan BMX Asia Di Malaysia, Johor Jadi Pilihan PKBM

15/10/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Malaysia berpeluang menjadi kuasa besar terbaharu dalam disiplin BMX sekiranya penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia di negara ini diluluskan secara rasmi oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh dalam kenyataan berkata perancangan penubuhan pusat serantau itu di Johor sudah dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UCI di Switzerland dua minggu lepas.

“Pada dasarnya UCI bersetuju memilih Malaysia sebagai lokasi Pusat Kecemerlangan BMX Asia. Johor ialah lokasi di mana PKBM akan membina Pusat Kecemerlangan BMX Asia ini.

“Semua kertas kerja telah dikemukakan dan saya telah pun bermesyuarat dengan Pengarah World Cycling Centre mengenai penubuhan ini,” katanya.

Sebelum ini, pada 2014 bekas Presiden PKBM Allahyarham Datuk Abu Samah Abd Wahab mengumumkan Pusat Kecemerlangan BMX Asia di Melaka atau Selangor selepas mengadakan kunjung hormat di pejabat Presiden UCI, Brian Cookson di Switzerland.

Malangnya rancangan tersebut gagal untuk direalisasikan atas beberapa sebab tertentu.

Bagaimanapun, Amarjit yakin penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia kali ini akan menjadi kenyataan sekali gus Malaysia berpeluang melahirkan bintang berbasikal ternama dalam disiplin BMX.

“Suasana kali ini jauh berbeza. Kali ini saya ada sokongan padu Presiden UCI David Lappartient dan ACC (Konfederasi Berbasikal Asia). Saya akan pastikan penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia ini menjadi kenyataan,” katanya yang juga Naib Presiden ACC.

Dalam pada itu, beliau berkata akan memaklumkan mengenai perancangan penubuhan pusat itu kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

“Saya akan berbincang dengan menteri berhubung perkara ini. Saya berpendapat pembinaan Pusat Kecemerlangan BMX Asia boleh menjadikan Malaysia sebagai antara kuasa besar dalam disiplin BMX nanti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan