SUKAN > BERITA

Piala Dunia Kriket T20 Wanita B-19, Medan Pendedahan Terbaik - MCA

15/10/2024 09:44 PM

JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) -- Barisan skuad muda kriket negara bakal mendapat peluang berharga untuk mempamerkan keupayaan mereka apabila beraksi dalam edisi kedua Piala Dunia ICC Kriket Wanita Bawah 19 Tahun (B-19) yang akan berlangsung di Malaysia dari 18 Jan hingga 2 Feb tahun depan.

Malaysia diundi dalam ‘kumpulan maut’ bersama pasukan gergasi seperti juara bertahan India, Sri Lanka dan West Indies dalam Kumpulan A.

Namun, Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA) Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali melihat ini sebagai pendedahan terbaik untuk pasukan negara menimba pengalaman berdepan dengan barisan pemain muda terbaik dunia.

“Biarpun diundi dalam kumpulan yang sukar, kami tidak melihatnya sebagai masalah besar. Fokus kami adalah untuk membina pasukan yang mampu bersaing pada standard tertinggi di masa hadapan,” kata pada sidang media selepas majlis pengumuman kejohanan di Akademi Dato’ Dr Harjit Singh Johor (JCA Oval) di sini hari ini.

Kejohanan ini juga akan menyaksikan Bayuemas Oval, Klang, Selangor sebagai tuan rumah bagi semua perlawanan Kumpulan A serta perlawanan akhir yang dijadualkan pada 2 Feb.

Sementara itu, perlawanan Kumpulan B yang menampilkan pasukan England, Pakistan, Ireland dan Amerika Syarikat akan berlangsung di JCA Oval.

Padang Kriket Petra Jaya, Kuching pula akan menjadi medan bagi Kumpulan C yang terdiri daripada New Zealand, Afrika Selatan, pasukan Kelayakan Afrika dan pendatang baharu, Samoa.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) YSD Oval di Bangi, Selangor akan menyaksikan persaingan sengit antara pasukan Australia, Bangladesh, Kelayakan Asia, dan Scotland dalam perlawanan Kumpulan D.

Sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan besar ini, Malaysia dijadualkan beraksi dalam Piala Asia Wanita B-19 pada Disember ini.

Kejohanan sulung itu bakal melibatkan India, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Walau bagaimanapun, venue kejohanan yang akan menampilkan lapan pasukan masih belum diumumkan oleh Majlis Kriket Asia (ACC).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan