SUKAN > BERITA

Pearly-Thinaah Tepati Ramalan Ke Pusingan Kedua Terbuka Denmark 2024

16/10/2024 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan apabila mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Denmark 2024 selepas menyingkirkan gandingan India Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela hari ini. 

Gandingan negara bermula goyah apabila tewas 19-21, sebelum bangkit untuk menang 21-17 sekali gus mengheret kepada perlawanan penentuan.

Perlawanan set ketiga menyaksikan kedua-dua pasangan saling mengejar mata sebelum pasangan negara di ranking ketujuh dunia itu mengesahkan kemenangan 21-15.

Pearly-Thinaah akan berdepan pemenang perlawanan antara Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan dan Julie Macpherson-Ciara Torrance dari Scotland.

Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao apabila terpaksa pulang awal selepas tunduk kepada Jonatan Christie 21-16, 21-14.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara yang baru merangkul gelaran Terbuka Artik Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani ditunjukkan jalan keluar lebih awal oleh wakil Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.

Dalam saingan selama 32 minit itu, pasangan negara tewas 13-21, 13-21.

“Lawan kami bermain lebih baik hari ini,” menurut Sze Fei menerusi rakaman audio dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Sementara itu, Nur Izzuddin berkata kepenatan selepas aksi di Finland minggu lepas bukan menjadi punca kekalahan mereka kepada pasangan Thailand hari ini.

“Kepenatan bukan alasan kekalahan hari ini. Sebenarnya itu bermaksud kami perlu memperbaiki terutama dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Dalam aksi beregu campuran pula, gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melepasi halangan pusingan pertama selepas mengetepikan Ethan Van Luuwen-Chloe Birch dari England 21-7, 21-14.

Pasangan profesional negara itu akan berdepan sama ada pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun atau Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand yang beraksi dalam satu lagi perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan