KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Jangkaan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa bekalan selesa tidak berhasil selepas pasukan Harimau Selatan hanya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Pada aksi tersebut, anak buah Hector Pablo Bidoglio bermula dengan strategi menyerang apabila cuba mendapatkan jaringan seawal minit permainan.
Namun, mereka hanya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-33 menerusi penyudah tenang Bergson da Silva hasil hantaran Oscar Pasero Arribas dari sebelah kiri padang.
Memasuki babak kedua, JDT terus menggandakan asakan tetapi mereka buntu selepas gagal menembusi pertahanan kental The City Boys.
JDT yang bertandang sebagai pasukan pelawat tidak mensia-siakan peluang dan kali ini giliran Heberty Fernandes menggandakan jaringan untuk Harimau Selatan pada minit ke-79.
Namun, ketika JDT hampir pulang dengan kemenangan bergaya, pemain tengah Brendan Gan memusnahkan impian itu dengan aksi cemerlang menyambut hantaran dari sebelah kanan padang sebelum melakukan sepakan gunting padu yang menewaskan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi, pada minit ke-89.
Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Sri Pahang FC membawa pulang kelebihan satu gol selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak FC.
Cuaca hujan sepanjang perlawanan jelas menjejaskan usaha anak buah Yusri Che Lah apabila pasukan tuan rumah berjaya mencipta beberapa peluang namun gagal memanfaatkannya.
Sebaliknya, pasukan pelawat mendahului pada minit ke-23 menerusi jaringan pemain import Kpah Sherman.
Ketika perlawanan hampir tamat, penjaga gol Sri Pahang Muhammad Zarif Irfan dilayangkan kad merah selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau menyiku pemain Perak Clayton Da Silva.
JDT akan meneruskan saingan aksi kedua suku akhir dengan bertemu KL City pada 21 Dis ini di Stadium Sultan Ibrahim(ssi), Iskandar Puteri, sementara Sri Pahang akan turun menentang Perak pada 22 Dis di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial