KUALA NERUS, 24 Dis (Bernama) -- Ketumpulan jentera penyudah dan kelemahan benteng pertahanan menjadi punca Terengganu FC (TFC) kecundang di laman sendiri, tewas 1-3 kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super malam tadi.
Pengendali TFC Badrul Afzan Razali berkata anak buahnya beraksi dengan baik sambil mencipta beberapa peluang namun gagal diterjemahkan ke dalam gol, malah kesilapan mudah benteng pertahanan juga mengundang padah buat tuan rumah.
"Masalah utama kita malam tadi ialah penyudah. Kita mencipta peluang tetapi gagal menjaringkan gol. Selain itu kesilapan mudah di benteng pertahanan juga menyebabkan kita mudah sangat dibolosi.
"Masalah pemain malam ini sama dengan apa yang berlaku ketika perlawanan dengan Imigresen FC (FC) minggu lepas. Kita mengawal keadaan separuh masa pertama dan kedua dengan baik, tetapi tidak diterjemahkan ke bentuk jaringan," katanya selepas aksi menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini.
Sementara itu, pemangku ketua jurulatih Sabah FC Alto Linus berkata beliau amat bersyukur kerana dapat mencuri tiga mata di tempat lawan.
"Pada separuh masa pertama rentak kita agak perlahan, menyebabkan Terengganu mengambil kesempatan untuk lebih menguasai.
"Mereka (TFC) menyerang tetapi tidak melakukan high pressing atau reaction press, di situlah kita ambil peluang untuk menaikkan rentak permainan pada separuh masa kedua hingga mencipta kemenangan," katanya.
Dalam pada itu beliau turut memuji aksi cemerlang penjaga gol Damien Lim yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya skuad Penyu.
Kemenangan itu membolehkan Sabah FC naik dua anak tangga dan menamatkan pusingan pertama Liga Super di kedudukan kelapan dengan 13 mata, manakala TFC kekal di tempat kelima dengan 18 mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial