SUKAN > BERITA

Jing Xuan Harap Acara Rejam Lembing Diberi Pengiktirafan Lebih Meluas

31/12/2025 03:20 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Pemenang pingat perak Sukan SEA Thailand 2025, Ng Jing Xuan, berharap acara balingan, khususnya rejam lembing, mendapat pengiktirafan lebih meluas dalam kalangan masyarakat.

Atlet muda kelahiran Miri, Sarawak itu berkata acara balingan, yang merupakan sebahagian daripada olahraga kategori padang, masih kurang mendapat perhatian berbanding acara balapan seperti acara pecut.

Bagaimanapun, beliau optimis kejayaan skuad olahraga negara di Thailand, khususnya dalam acara balingan, mampu mengubah persepsi menjelang Sukan SEA 2027 di Malaysia.

“Acara rejam lembing menerima perhatian yang jauh lebih rendah berbanding acara balapan, namun saya berharap dengan memenangi pingat, kami dapat terus menarik tumpuan yang lebih besar terhadapnya.

“Selalunya apabila orang bertanya acara apa yang saya sertai dan saya menjawab olahraga — rejam lembing, mereka tidak tahu apa itu rejam lembing dan hanya mengaitkan olahraga dengan larian. Saya berharap suatu hari nanti, acara balingan akan menjadi kebanggaan Malaysia,” kata atlet berusia 21 tahun itu kepada Bernama.

Selain rejam lembing, acara balingan lain termasuk lontar peluru, lempar cakera dan baling tukul besi. Olahraga kategori padang juga merangkumi acara lompatan seperti lompat jauh dan lompat tinggi.

Bagi acara balapan pula, tumpuan diberikan bukan sahaja kepada pecut, malah larian jarak sederhana dan jauh, lari berpagar serta acara berganti-ganti turut menjadi fokus.

Pada Sukan SEA 2025 yang baru berakhir, Jing Xuan mencipta sejarah apabila memenangi pingat perak sambil memecahkan rekod kebangsaan dengan lontaran sejauh 52.17 meter di Stadium Supachalasai, Bangkok.

Atlet tuan rumah, Jariya Wichaidit, merangkul pingat emas dengan lontaran 55.64m, manakala gangsa dimenangi atlet Filipina, Ana Bhianca Espenilla, dengan lontaran 51.66m.

Penampilan keduanya di Sukan SEA selepas menduduki tempat keempat pada edisi 2023 di Kemboja menyaksikan Jing Xuan memadam rekod kebangsaan 49.34m milik Siti Nur Nadiah Othman.

Lebih manis, beliau turut menjadi wanita Malaysia pertama mencatat lontaran melebihi 50 meter.

Sementara itu, Jing Xuan meletakkan sasaran untuk menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA 2027.

“Saya percaya mampu menghadiahkan pingat emas pada edisi 2027,” kata pelajar Universiti Sunway itu.

Sebagai rekod, skuad olahraga negara meraih keseluruhan lima pingat emas di Thailand, dengan empat daripadanya disumbangkan menerusi acara balingan dan satu daripada acara lompatan. Pasukan itu turut memenangi lima pingat perak dan enam pingat gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan