NILAI, 7 Jan (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan apabila menjuarai acara pecut elit lelaki pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional di sini hari ini.
Pelumba yang dikenali sebagai “The Pocket Rocketman" itu meraih pingat emas selepas menewaskan pelumba Korea Selatan, Kim Geunwoo pada perlumbaan akhir.
Terdahulu, aksi final final menyaksikan kedudukan seri 1-1 sebelum Azizulhasni mengesahkan kemenangan pada perlumbaan penentuan.
Azizulhasni, yang kiniberaksi sebagai pelumba bebas bersama Team Azizul berkata kejayaan itu penting sebagai persiapaan menghadapi beberapa kejohanan utama pada suku pertama tahun ini selain persediaan ke Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos serta Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
"Alhamdullilah, keputusan hari ini seperti saya harapkan...ia bukan laluan yang mudah,namun sokongan pasukan serta penyokong di sini menaikkan semangat untuk memang di tempat sendiri,”katanya.
Menurutnya, pengalaman beraksi menentang lawan sama sebelum ini menjadikan perlumbaan berkenaan lebih mencabar.
“Kami pernah berlumba di New Zealand sebelum ini, jadi perlumbaan hari ini agak sukar kerana dia tahu taktik saya dan saya perlu membuat sedikit penyesuaian. Secara keseluruhannya, ia perlumbaan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat, di sini, hari ini.
Pingat gangsa acara itu menjadi milik pelumba kebangsaan, Muhammad Ridwan Sahrom yang menewaskan Cheuk Hei To dari Hong Kong.
Dalam perkembangan lain, Azizulhasni yakin pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom mampu kembali beraksi dengan prestasi yang lebih baik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan.
Beliau berkata setiap pertemuan dengan Muhammad Shah menyaksikan pumba itu sentiasa menunjukkan sikap positif dan semangat tinggi untuk kembali mewakili negara.
Sementara itu, acara pecut elit wanita menyaksikan penguasaan pelumba negara apabila Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih pingat emas selepas menewaskan rakan sepasukannya, Nurul Alyssa Farid, pada perlumbaan final.
Pingat gangsa pula menjadi milik Anis Amira Rosidi yang menewaskan seorang lagi rakan sepasukan, Yong Ann Tung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial