KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Penyerang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson da Silva menegaskan tiada sebarang rahsia di sebalik ketajamannya menjaringkan gol.
Pemain kelahiran Brazil itu, yang menjaringkan hatrik pertama musim ini dalam Kejuaraan Kelab ASEAN merebut Piala Shopee 2025/26 ketika menentang Bangkok United pada September lepas, menekankan bahawa kejayaan hanya datang melalui kerja keras yang konsisten.
“Sebagai penyerang, setiap kali saya menjaringkan gol, orang di kelab sentiasa mendorong saya untuk menjaringkan lebih banyak gol. Bagi saya, sebagai pemain, ia tidak pernah cukup. Apabila melangkah ke padang, saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik. Inilah matlamat dan mentaliti saya.
“Kami juga ada ‘bos’ kami (pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang sentiasa mendorong kami menjadi pemain yang lebih baik dan insan yang lebih baik. Jadi, kuncinya adalah mentaliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bergson turut menyuarakan hasrat untuk membalas dendam terhadap juara Thai League 1 dan juara bertahan Piala Shopee, Buriram United FC, sekiranya bertemu dalam pusingan kalah mati nanti.
“Kami tahu mereka adalah lawan besar dalam bola sepak Asia kerana beberapa kali bertemu, mereka pernah mengatasi kami.
“Tapi kami ada peluang baru untuk mencipta sejarah, memulakan cabaran baharu dan fokus pada perlawanan seterusnya,” katanya.
JDT membuat penampilan sulung mereka dalam Piala Shopee musim ini dengan permulaan yang memberangsangkan, menewaskan Lion City Sailors FC dan Bangkok United sebelum terikat dengan keputusan mengejutkan menentang PKR Svay Rieng FC di Phnom Penh bulan lepas.
Dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan pembukaan, pasukan kendalian Xisco Munoz kini menduduki tangga kedua Kumpulan B, di belakang Nam Dinh FC dari Vietnam, dengan baki dua pusingan lagi dalam fasa awal kejohanan.
JDT akan kembali beraksi dalam Piala Shopee pada 29 Januari menentang Shan United, manakala Svay Rieng akan menentang Bangkok United dan Nam Dinh berdepan Lion City Sailors.
Sehari lebih awal, juara Buriram United akan ke Singapura menentang pemimpin Kumpulan A, Tampines Rovers FC, manakala BG Pathum United FC menjamu DH Cebu FC dan Selangor FC menerima kunjungan naib juara musim lalu, Cong An Ha Noi FC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial