NILAI, 11 Jan (Bernama) -- Kesakitan di lutut kiri tidak menghalang pelumba berbasikal trek negara, Nur Alyssa Farid meraih pingat emas acara keirin elit pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 2 di Velodrom Nasional, di sini hari ini.
Nur Alyssa, 20, menewaskan rakan senegara Yong Ann Tung, manakala pelumba Hong Kong Tung Phoebe melengkapkan podium dengan pingat gangsa.
Pelumba kelahiran Johor itu berkata beliau mengharungi final yang mencabar susulan tekanan daripada pelumba Hong Kong, sekali gus menyebabkan perlumbaan berlangsung dalam tempo tinggi.
“Final tadi memang agak penat sebab saya keluar awal lepas motosikal derny membuka perlumbaan, pelumba Hong Kong pula memecut dari belakang, jadi saya banyak guna tenaga untuk mengekalkan kelajuan.
“Saya memang (kayuh) maksimum hampir dua pusingan setengah, jadi agak mencabar. Sebenarnya lutut kiri saya sakit sebab semasa melakukan latihan semalam, lutut saya terhentak sebab pengayuh tercabut, jadi memang ada rasa sakit,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini hari ini.
Beliau turut mempertahankan pingat emas acara sama yang diraihnya pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 yang berlangsung pada Khamis, selain meraih pingat perak dan gangsa acara pecut pada kejohanan yang sama.
Nur Alyssa berkata meskipun berdepan kesukaran, beliau tetap berusaha melakukan kayuhan sebaik mungkin dan kemenangan tersebut didedikasikan kepada jurulatihnya, Herman Terryn.
Menurut pelumba itu, susulan kecederaan yang dialaminya, beliau dijadual menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) pada Selasa ini.
Atlet yang sedang meningkat naik itu turut meletakkan sasaran untuk mengumpul lebih banyak mata dalam kejohanan kelas satu bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia tahun ini.
Sementara itu, acara keirin elit lelaki menyaksikan pelumba trek negara Muhammad Ridwan Sahrom memenangi pingat gangsa, manakala Dika Alif Dhentaka dari Indonesia di tempat kedua dan juara menjadi milik To Cheuk Hei dari Hong Kong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial