SUKAN > BERITA

Terbuka Malaysia: Tekanan Saat Kritikal Halang Aaron-Wooi Yik - Rexy

12/01/2026 10:57 AM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Tekanan pada saat-saat genting menyebabkan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuat beberapa keputusan kurang tepat ketika menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di final Terbuka Malaysia 2026 semalam.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky berkata beliau pada masa sama mengakui kepintaran Seung Jae dalam mengawal permainan yang menunjukkan betapa keyakinan mental mampu menjadi perbezaan utama. 

“Dalam pertemuan terakhir, Aaron-Wooi Yik menang dan tahap mereka (di Terbuka Malaysia) tidak jauh beza, cuma dari segi keyakinan dalam situasi tertentu, pasangan Korea Selatan lebih berpengalaman seperti ketika mata 19-18 di set ketiga, Aaron teragak-agak mahu pukul kuat atau tolak sahaja, akhirnya bulu tangkis keluar.

“Seung Jae adalah perancang utama, dia bijak meneutralkan situasi. Walaupun Won Ho ditekan berkali-kali, Seung Jae berjaya menenangkan keadaan dan sangat kurang melakukan kesilapan berbanding pasangannya,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena semalam.

Aaron-Wooi Yik akhirnya menamatkan saingan sebagai naib juara selepas tewas 15-21, 21-12, 18-21 dalam pertarungan selama 66 minit, sekali gus menyaksikan kemarau 12 tahun negara dalam acara beregu lelaki di kejohanan berprestij itu berterusan. 

Rexy berkata anak buahnya turut berdepan masalah konsistensi pada set pertama walaupun permainan secara keseluruhan berjalan mengikut perancangan.

“Rancangan kita adalah untuk menyekat pasangan Korea Selatan daripada menguasai depan jaring, tetapi itu tidak menjadi di set pertama. Ia hanya menjadi di set kedua.

“Set ketiga memperlihatkan defisit awal 11-4 yang sukar dikejar dengan beregu Korea Selatan mengawal permainan dan memaksa Aaron-Wooi Yik lebih banyak bermain dari belakang gelanggang,” katanya.

Ditanya mengenai hanya satu wakil Malaysia di final Super 1000, Rexy berkata semua pihak diminta tidak membandingkan antara setiap pasangan kerana masing-masing mempunyai tahap dan kekuatan berbeza.

“Pengalaman Aaron dan Wooi Yik dalam mengendalikan situasi permainan jauh mengatasi pasangan seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang kadang-kadang masih kurang keyakinan.

“Mempunyai banyak pasangan bukan bermakna kita automatik boleh pergi jauh, apatah lagi ini kejohanan Super 1000, semua pemain terbaik beraksi,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi berkata aksi Aaron-Wooi Yik di pentas Terbuka Malaysia merupakan antara persembahan terbaik pasangan itu, cuma belum bernasib baik untuk bergelar juara.

“Ini antara persembahan terbaik Aaron-Wooi Yik selain Kejohanan Badminton Asia yang menyaksikan mereka muncul juara. Di Terbuka Malaysia, mereka hampir kembali ke prestasi asal namun, mungkin kali ini belum ada rezeki atau belum bernasib baik untuk bergelar juara di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata aksi final itu juga satu pertarungan yang ideal apabila mempertemukan gandingan nombor satu dan dua dunia.

Namun, beliau mengakui bertemu pasangan Korea Selatan itu bukanlah mudah dengan lawan tidak boleh mengharapkan mereka melakukan kesilapan sebaliknya perlu lebih tenang untuk mendapatkan mata.

Selain itu, Herry juga merasakan beregu lelaki Malaysia yang lain masih memerlukan masa dan latihan tambahan untuk mencapai tahap setanding Aaron-Wooi Yik.

“Kita ada Wei Chong-Kai Wun, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal dan Wan Arif-Yap Roy King. Beregu lelaki lain masih memerlukan masa dan banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk mencapai tahap seperti Aaron dan Wooi Yik,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan