SUKAN > BERITA

JMR Umum Barisan Pemandu Bertaraf Dunia Pada Penampilan Pertama Corvette Di Bathurst 12 Jam

14/01/2026 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Johor Motorsports Racing Team (JMR) mengumumkan barisan tujuh pemandu bertaraf dunia yang akan bersaing pada perlumbaan ketahanan Meguiar’s Bathurst 12 Jam bulan depan, yang juga menyaksikan penampilan pertama Corvette dalam acara legenda itu, sekali gus menandakan era baharu yang mengujakan bagi kempen GT3 jenama berkenaan.

JMR dalam kenyataan memaklumkan selain Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al Haj, pasukan Pro baharu itu akan dibarisi pemandu pengeluar Corvette Racing, iaitu Alexander Sims, Nicky Catsburg dan Earl Bamber.

Sementara itu, pemandu Pro tetap JMR Ben Green dan Jordan Love akan menyertai Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar apabila empat pemandu itu bersaing merebut kegemilangan dalam kelas Pro-Am dengan jentera #99.

Tunku Abdul Rahman berkata Bathurst sentiasa menjadi lokasi istimewa buat beliau dan antara litar kegemarannya di dunia dengan sejarah, peminat dan suasana perlumbaan yang luar biasa.

“Saya telah berlumba dalam perlumbaan 12 Jam sebanyak tiga kali, dan sejak menubuhkan JMR ia menjadi antara matlamat utama saya untuk kembali dengan pasukan kami sendiri. Kembali bulan depan dengan dua jentera menjadikannya lebih bermakna, khususnya berlumba bersama adik saya serta dua rakan sepasukan hebat Jordan Love dan Ben Green.

“Menonton di Bathurst tahun lepas menjadi motivasi besar buat kami, dan kini kembali dengan pengeluar baharu iaitu GM Corvette menjadikannya lebih teruja. Kami telah bekerja sehingga ke saat ini sejak sekian lama, dan saya amat berbangga melihat JMR berbaris dengan sebuah jentera Pro pada acara yang begitu ikonik ini. Kami bersedia menyahut cabaran dan menantikan tahun yang penuh keterujaan,” katanya.

Bathurst sebelum ini menjadi medan bertuah buat Tunku Abdul Rahman apabila pemilik dan ketua pasukan itu meraih tiga keputusan podium Pro-Am antara 2022 hingga 2024.

Bagi perlumbaan 2026, kedua-dua pasukan JMR akan memandu Chevrolet Corvette Z06 GT3.R yang memenangi perlumbaan serta meraih podium dalam Kejuaraan GT World Challenge Asia 2025 dan perlumbaan ketahanan Suzuka 1000.

Bathurst 12 Jam akan menjadi kali kedua JMR menurunkan pasukan Pro sepenuhnya selepas pasukan itu meraih podium pada penampilan sulungnya di Suzuka 1000 pada September dengan mencatat keputusan yang tidak dapat dilupakan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan