SEREMBAN, 21 Jan (Bernama) -- Prestasi tidak konsisten atau “yo yo” Negeri Sembilan FC (NSFC) memerlukan transformasi menyeluruh bagi memastikan pasukan itu mampu mencapai tahap lebih kompetitif, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin yang juga Pengerusi NSFC berkata meskipun pelbagai sokongan diberikan termasuk dari aspek kewangan yang turut merangkumi kelulusan tambahan peruntukan bagi pengambilan pemain baharu, namun kestabilan prestasi pasukan belum dicapai.
“Prestasi pasukan NSFC okay, tapi masih yo yo. Kita berharap ada keputusan tepat supaya prestasi seperti itu dapat dihentikan. Kita telah tambah peruntukan kepada NSFC kerana mereka mahu mengambil beberapa pemain baharu pada jendela (perpindahan) kedua.
“Kita berharap pemain, jurulatih dan pengurusan lebih fokus pada satu atau dua perlawanan dalam masa terdekat ini. Kita mahu kesungguhan itu bukan hanya di tempat sendiri tetapi juga semasa beraksi di tempat lawan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat EXCO di sini hari ini.
Aminuddin menegaskan pengurusan, pihak kejurulatihan dan pemain perlu memastikan impak positif dapat dicapai kerana telah diberikan masa mencukupi, dengan keutamaan kini ialah meningkatkan semangat serta kesungguhan pasukan.
Beliau berkata kemenangan bukan tuntutan mutlak dalam setiap perlawanan, namun komitmen dan kesungguhan pemain amat penting selain mengakui aspek taktikal pasukan masih belum mencapai tahap serta jangkaan yang ditetapkan.
NSFC berdepan dua kekalahan Liga Super iaitu semasa menentang Johor Darul Ta'zim (0-1) dan Selangor FC (0-1) selain sekadar seri dengan Imigresen FC tanpa jaringan pada 17 Jan.
Dalam pada itu Aminuddin berkata peruntukan hampir RM5 juta disediakan bagi menaik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang merangkumi kerja mengecat, baik pulih bilik persalinan dan penambahbaikan sistem lampu limpah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial