SUKAN > BERITA

Selepas Menanti 24 Jam, Emas 100m T12 Kekal Milik Malaysia

22/01/2026 10:50 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

NAKHON RATCHASIMA, 22 Jan (Bernama) -- Selepas menunggu selama 24 jam dalam tanpa kepastian akibat isu teknikal penganjur, kem olahraga para Malaysia akhirnya menarik nafas lega apabila pingat emas acara 100 meter lelaki T12 Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025, disahkan kekal milik negara.

Atlet negara Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah muncul juara dengan catatan 11.26 saat (s) mengatasi wakil tuan rumah Kissanapong Tisuwan (11.52s) dan rakan sepasukan Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi yang meraih gangsa dengan 11.53s.

Pengurus pasukan S. Arasu berkata ‘drama’ itu tercetus apabila seorang atlet Singapura James Ethan, tidak menyedari kelayakannya ke final selepas namanya tidak dipaparkan dalam senarai rasmi oleh penganjur, sekali gus menyebabkan beliau terlepas bertanding bersama peserta lain, semalam.

Kesilapan itu mendorong Singapura mengemukakan bantahan rasmi yang akhirnya diterima atas faktor teknikal, sebelum atlet berkenaan dibenarkan melakukan larian catatan masa secara bersendirian, hari ini. 

Bagaimanapun, catatan 11.99s yang direkodkan atlet Singapura itu tidak mengatasi masa Muhamad Afiq, sekali gus mengesahkan keputusan final kekal sah dan pingat emas terus menjadi milik Malaysia.

“Memang tepat 24 jam, sebab penganjur sendiri yang tidak letak dia punya kelayakan sebab peserta yang layak itu sepatutnya dipamerkan. 

“Sebab itu Singapura minta supaya dia dibenarkan lari pada hari ini. Jadi kita pun membenarkanlah dia lari dan bersyukur sebab dia punya masa tidak dapat lawan masa kita. Jadi kita punya keputusan masih kekal, pingat emas masih lagi kepada Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Kem olahraga para, muncul sebagai penyumbang terbesar pingat setakat ini meraih 11 pingat emas, lapan perak dan 14 gangsa. 

Lebih manis, skuad para renang negara akhirnya memecahkan kebuntuan pingat emas hari ini apabila Rusdianto Rusmadi, menghadiahkan emas sulung dari kolam renang menerusi acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki kategori S8.

Rusdianto mencatat masa 30.54 saat pada saingan final untuk menewaskan dua wakil Vietnam Huynh Anh Khoa, yang meraih perak (31.26s) dan Quang Thoai Han yang membawa pulang gangsa (33.41s).

Setakat ini, skuad para renang negara telah mengumpul lapan pingat perak dan 11 pingat gangsa dengan emas Rusdianto kekal menjadi satu-satunya sumbangan tertinggi dari kolam renang, namun peluang masih terbuka luas untuk menambah kilauan pingat sehingga Ahad ini.

Setakat malam ini, Malaysia berada pada kedudukan ketiga daripada sembilan negara bertanding dengan keseluruhan 70 pingat (18-21-31).

Thailand terus mendominasi carta pungutan pingat apabila menghuni tangga teratas dengan 179 pingat (69-59-51), manakala Indonesia berada di tempat kedua dengan 106 pingat (40-38-28).

Kontinjen negara menyasarkan untuk membawa pulang 181 pingat keseluruhan dengan 55 daripadanya adalah pingat emas pada temasya yang membuka tirai pada Selasa (20 Jan) hingga Isnin depan (26 Jan).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan