Daripada Farah Najihah Zuraimi
NAKHON RATCHASIMA (Thailand), 24 Jan (Bernama) -- Kontinjen negara dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran membawa pulang 181 pingat secara keseluruhan pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025.
Malaysia setakat ini telah mengumpul 152 pingat, iaitu 49 emas, 44 perak dan 59 gangsa, sekali gus telah melepasi kutipan keseluruhan 123 pingat di APG Kemboja 2023.
Walaupun pertandingan hanya berbaki sehari, namun beberapa acara dilihat berpotensi menyumbang pingat termasuk bagi merealisasikan sasaran 55 emas seperti ditetapkan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Mohd Zarrawi Ravi Abdullah.
Fokus esok pastinya terarah kepada aksi pemain badminton negara khususnya jaguh perseorangan lelaki SU5 Cheah Liek Hou yang dijadual menentang wakil Indonesia Dheva Anrimusthi dalam perebutan gelaran juara.
Pertembungan berkenaan menjadi antara tumpuan hari terakhir dengan pemenang emas Paralimpik itu berpeluang menambah koleksi emas negara, selain beberapa acara lain turut berlangsung antaranya powerlifting, renang, trek berbasikal dan olahraga.
Ketika ini, kem olahraga muncul sebagai penyumbang utama kutipan pingat Malaysia dengan 18 emas, 17 perak dan 20 gangsa.
Jaguh pecut negara Ivan Jovic Suan muncul individu paling menonjol apabila menyumbang tiga emas menerusi acara 400 meter (m) lelaki T44/T63, 200m T44 dan 100m T44 manakala di padang, Muhammad Ziyad Zolkefli sekali lagi unggul dalam acara lontar peluru lelaki F20, emas kelapan beliau di pentas APG sejak penampilan sulung pada edisi 2009.
Sementara itu, kem negara hari ini turut diceriakan oleh jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang menghadiahkan pingat emas dalam kategori 80 kilogram (kg) selepas mencatat angkatan 201 kg.
Aksi konsisten atlet berpengalaman itu bukan sahaja mengukuhkan reputasi beliau sebagai antara atlet powerlifting terbaik dunia, malah menyuntik keyakinan tambahan kepada kem negara menjelang hari terakhir pertandingan.
Kedudukan carta pingat keseluruhan menyaksikan tuan rumah Thailand terus unggul dengan 143 emas, 135 perak dan 117 gangsa untuk jumlah keseluruhan 395 pingat manakala Indonesia di tempat kedua dengan 101 emas, 103 perak dan 88 gangsa (292 pingat).
APG edisi ke-13 ini akan melabuhkan tirainya secara rasmi dengan upacara penutup pada 26 Jan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial