SUKAN > BERITA

 MOONTON Perkenal Struktur Lima Wilayah e-Sukan MLBB

25/01/2026 10:51 PM

JAKARTA, 25 Jan (Bernama) -- MOONTON Games mengumumkan strategi jangka panjang bagi memperluaskan ekosistem e-sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) melangkaui pasaran tradisionalnya, dengan Malaysia Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL MY) bakal memasuki era baharu menerusi liga berasaskan kerjasama yang melibatkan lapan pasukan.

Sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju global, e-sukan MLBB akan beralih kepada struktur lima wilayah bermula tahun depan, meliputi Asia, Eropah, Afrika dan Amerika.

Rangka kerja itu dirangka bagi menyatukan persaingan antarabangsa, di samping membolehkan setiap wilayah berkembang menerusi pembangunan infrastruktur tersendiri serta laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun.

Ketua Pegawai Eksekutif MOONTON Games, Cloud Zhang berkata inisiatif itu mencerminkan visi antarabangsa yang berani bagi memperkukuh serta meningkatkan ekosistem kompetitif MLBB di peringkat global.

“Sepanjang 10 tahun lalu, MLBB berkembang menjadi antara acara e-sukan terbesar dunia dan terus mencatat tahap penglibatan pemain serta impak global yang semakin meningkat.

“Rangka kerja ini menyatukan ekosistem e-sukan MLBB global sambil memperkasa setiap wilayah melalui infrastruktur yang disesuaikan serta laluan pembangunan bakat yang tersusun,” katanya ketika berucap pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia M7, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zhang turut mengumumkan Turkiye sebagai tuan rumah Kejohanan Dunia M8 pada Januari 2027, sekali gus menandakan kali pertama kejohanan utama MLBB itu dianjurkan di Eropah.

Beliau berkata kejohanan Wild Card M8 akan berlangsung di Thailand, manakala perlawanan akhir M8 dijadualkan berlangsung di Istanbul.

Sementara itu, MOONTON turut mengesahkan MLBB dipilih sebagai judul rasmi pertama bagi Piala Negara E-Sukan (ENC) 2026 yang julung kali dianjurkan, selain bakal membuat penampilan sulung pada Sukan Asia ke-20 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Bagi mengukuhkan lagi persaingan antara wilayah, MLBB turut memperkenalkan Jelajah Kejuaraan, sebuah kejohanan antara benua baharu yang direka bagi meningkatkan intensiti persaingan rentas wilayah serta melonjakkan tahap penglibatan penonton global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan