SUKAN > BERITA

SRG Mungkin Lakukan Perubahan Pemain Bagi Saingan MPL MY 2026 - Ozoraveki

26/01/2026 06:51 PM

SEPANG, 26 Jan (Bernama) -- Selangor Red Giants (SRG) tidak menolak kemungkinan akan melakukan perubahan kepada barisan pemain bagi menghadapi saingan Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Malaysia (MPL MY) 2026.

Pembantu Jurulatih SRG Poon Kok Sing yang lebih dikenali sebagai OzoraVeki berkata perkara itu bagaimanapun akan diumumkan pihak pengurusan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

“Satu perkara yang pasti, SRG masih akan berada dalam ekosistem MPL. Kami telah memastikan satu slot tetapi buat masa ini, kami tidak pasti sama ada semua ahli masih bersama pasukan dan kita akan menunggu pengumuman lanjut.

“Kami tidak dapat mengesahkan semua akan kekal, tetapi sebahagian besar masih akan berada di sini,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Baru-baru ini timbul spekulasi mengenai barisan pemain SRG akan dirombak menjelang musim MPL akan datang, khususnya melibatkan status kontrak beberapa tonggak utama pasukan.

Setakat ini, SRG mempunyai lima pemain, iaitu Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm), Muhammad Haqullah Ahmad Sharul Zaman (Sekys) Hazziq Danish Mohamad Rizwan (Stormie), John Vincent Banal (Innocent) Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums) dan Chun Chin Wee (Winter). 

Sebagai rekod, SRG menamatkan saingan Kejohanan Dunia MLBB M7 di tempat ketiga selepas tunduk 1-3 kepada wakil tuan rumah, Alter Ego dalam perlawanan akhir lower bracket pada Sabtu. 

Perlawanan akhir lower bracket antara SRG dan Alter Ego mencatat rekod dunia baharu sebagai perlawanan e-sukan mudah alih yang paling banyak ditonton sepanjang masa, dengan 5.59 juta Tontotan Serentak Tertinggi (PCV), menurut Esports Charts.

Rekod sebelum ini sebanyak 5.36 juta PCV dicatatkan pada kejohanan semasa perlawanan Alter Ego menentang Team Liquid Philippines (TLPH), menjadikan Kejohanan Dunia M7 edisi M Series yang paling banyak ditonton dalam sejarah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan