NAKHON RATCHASIMA, 26 Jan (Bernama) -- Malaysia memberi jaminan penganjuran Sukan Para ASEAN (APG) Malaysia 2027 akan dilaksanakan mengikut standard antarabangsa tertinggi, khususnya dalam aspek klasifikasi atlet, pematuhan teknikal serta tahap profesionalisme keseluruhan temasya.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pihaknya bertekad memastikan ketelusan dan keadilan penuh, sejajar prosedur Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa dan Persekutuan Antarabangsa bagi setiap sukan yang dipertandingkan.
“Insya-Allah perkara yang berlaku di sini tidak akan berlaku di Kuala Lumpur. Kita melihat situasi atlet daripada kelas berbeza digabungkan, atlet ada tangan dan tiada tangan, banyak kelompongan dan tiada keadilan,” katanya pada sidang media rumusan kontinjen Malaysia di sini hari ini.
Megat D Shahriman berkata MPM juga akan memastikan semua pegawai teknikal dan pengadil yang dilantik mematuhi sepenuhnya standard antarabangsa selain meneliti cadangan untuk menjadikan beberapa sukan sebagai acara sanctioned bagi meningkatkan kawalan dan kredibiliti penganjuran.
Beliau mengakui kecewa apabila isu klasifikasi turut melibatkan pengelas dari negara sendiri sambil menegaskan bahawa MPM tidak mahukan layanan istimewa, sebaliknya hanya menuntut profesionalisme dan keadilan demi imej negara.
“Malaysia akan berlaku adil (di APG 2027) bukan sahaja kepada atlet kita tetapi kepada semua negara ASEAN. Sukan ini mesti dimainkan di medan yang sama rata dan berteraskan fair play,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata MPM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta persatuan kebangsaan merancang penganjuran beberapa program latihan antarabangsa termasuk kemungkinan menjalani latihan di Korea Selatan.
Sementara itu, Ketua Kontinjen Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata pencapaian keseluruhan Malaysia di APG 2025 adalah hasil pengurusan kontinjen yang dirancang secara berfasa serta sokongan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan.
“Kita tidak tunggu atlet cedera baru rawat. Pencegahan diambil dari awal. Walaupun ada beberapa kes kesihatan termasuk dua melibatkan atlet renang dan seorang pengurus pasukan berbasikal, semuanya sedang dipantau rapi,” katanya.
Mohd Zarrawi berkata prestasi atlet menunjukkan peningkatan konsisten sepanjang pertandingan, namun beliau mengakui beberapa pingat emas terlepas dengan margin terlalu kecil, sekali gus memerlukan penelitian lebih mendalam terutama dari aspek prestasi dan kekuatan mental atlet.
“Margin terlalu kecil, satu saat, satu mata, satu percubaan. Ini yang perlu kita baiki dari segi kekuatan mental,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial