KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Skuad futsal negara memulakan kempen Piala Asia Futsal 2026 dengan langkah kiri apabila tewas 1-4 kepada Iran dalam perlawanan pertama Kumpulan D, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, anak buah Addie Azwan Zainal dikejutkan dengan gol awal seawal minit pertama melalui Mohammad Hossein Derakhshani, yang turut menjadi satu-satunya jaringan pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, gawang Malaysia dibolosi tiga kali dalam tempoh empat minit oleh Behrooz Azimi (minit ke-25), Hossein Tayyebi (minit ke-27) dan Moslem Oladghobad (minit ke-28), sekali gus memberikan kelebihan selesa 4-0 kepada Iran.
Bagaimanapun, Malaysia berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit akhir melalui Awalluddin Nawi, menjadikan keputusan penuh 4-1.
Dengan keputusan ini, Malaysia kini menghuni tangga ketiga Kumpulan D, manakala Iran mendahului carta.
Skuad negara akan menentang Afghanistan, Jumaat ini, sebelum menutup saingan kumpulan menentang Arab Saudi, Ahad ini.
Untuk rekod, skuad futsal Harimau Malaya gagal melayakkan diri ke dua edisi Piala Asia Futsal sebelum ini, iaitu di Kuwait pada 2022 dan Thailand pada 2024. Dalam 12 penampilan sejak 1999, Malaysia hanya beraksi di peringkat kumpulan dan masih belum pernah mara ke suku akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial