SUKAN > BERITA

Skuad Boling Padang Curi Perhatian, Dijemput Sertai Siri Ujian Sukan Komanwel 2026

14/02/2026 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kehebatan skuad boling padang kebangsaan mendapat perhatian di pentas antarabangsa apabila Malaysia dijemput menyertai siri perlawanan ujian menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang akan berlangsung pada hujung April ini.

Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berkata selain Malaysia, siri ujian itu menghimpunkan tiga pasukan terbaik dunia iaitu Australia, Scotland dan England.

Beliau menyifatkan pemilihan Malaysia yang merupakan satu-satunya wakil dari Asia membuktikan peningkatan prestasi konsisten skuad kebangsaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya sendiri terkejut apabila dimaklumkan kita dipilih menyertai siri ujian ini. Jika melihat kepada kedudukan semasa, tiga pasukan teratas dunia dalam kalangan negara Komanwel ketika ini ialah Australia, Scotland dan England.

“Sepatutnya mereka memilih pasukan di ranking keempat atau kelima dunia, namun mereka memilih Malaysia yang berada di kedudukan ketujuh (satu perak dan satu gangsa) pada edisi 2022 di Birmingham,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau percaya pemilihan Malaysia didorong kejayaan cemerlang skuad negara muncul juara keseluruhan pada Piala Dunia 2025 dengan mengatasi Australia, Scotland dan England di sini, November lepas.

Awalan berkata siri ujian itu merupakan platform terbaik untuk skuad negara mengukur kemampuan sebenar dan memperkukuh persiapan ke Sukan Komanwel.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

Di Glasgow, boling padang menawarkan empat pingat emas menerusi acara singles lelaki dan wanita serta pairs lelaki dan wanita.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas boling padang pada temasya itu ialah pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia menerusi gandingan Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji dalam acara pairs wanita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan