SUKAN > BERITA

Muhammad Ziyad Kekal Intensiti Latihan, Ramadan Uji Disiplin

19/02/2026 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli enggan menjadikan Ramadan sebagai alasan untuk menjalani latihan lebih ringan, sebaliknya menganggap ibadah puasa sebagai medan menguji tahap disiplin sebagai seorang atlet.

Sehubungan itu, pemenang emas lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Rio 2016  sanggup bertukar menjadi "burung hantu” untuk menjalani latihan yang berlarutan hingga awal pagi.

Enggan membiarkan intensiti latihan mengendur sepanjang bulan mulia ini, Muhammad Ziyad berkata beliau juga berasa lebih segar dan bertenaga ketika menjalani latihan pada Ramadan.

“Waktu latihan yang selalunya pada sebelah siang, kini berubah dengan saya akan memperuntukkan kira-kira dua jam berlatih mengangkat beban di gimnasium dari 4 hingga 6 petang.

"Selepas solat tarawih, bersambung latihan balingan pula dari 9.30 malam hingga 2 pagi. Saya mendapat rehat yang cukup siang hari, jadi lebih bersemangat berlatih di bulan Ramadan,” katanya kepada Bernama.

Masih segar dengan kejayaan membawa pulang pingat emas Sukan Para ASEAN 2025 di Korat, Thailand bulan lepas, Muhammad Ziyad kini melakukan persiapan untuk saingan kompetitif antarabangsa seterusnya, iaitu Kejohanan Olahraga Grand Prix Para Dunia 2026 di Maghribi.

Katanya beliau berazam meneruskan momentum dari Korat dengan menyasarkan emas pada kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Olimpik Rabat bermula 23 hingga 26 April ini.

Beliau berkata kejayaan di Maghribi nanti bakal menjadi pembakar semangat sebelum turun berentap pada Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Sukan Para Asia 2026 dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Okt ini.

Muhammad Ziyad merupakan pemenang emas tiga kali berturut-turut lontar peluru lelaki F20 pada Sukan Para Asia selain memegang rekod Asia dengan lontaran sejauh 17.43 meter yang dilakar di Jepun pada 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan