KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh hari ini mengumumkan Stadium Titiwangsa sebagai “Home of Sepak Takraw” susulan prestasi cemerlang skuad negara yang menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia pada Mei tahun lepas.
Hannah berkata keputusan itu dibuat dengan persetujuan rasmi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan memberi penjenamaan semula stadium itu sebagai gelanggang keramat sukan sepak takraw.
Beliau berkata sebanyak RM80,000 dibelanjakan bagi projek fasa pertama menambah baik stadium itu untuk menjadikannya sebagai stadium rasmi sukan berkenaan.
“Ia merangkumi lukisan mural pada dinding yang membawa identiti Home of Sepak Takraw, papan skor ditukar kepada LED, ruang VIP, surau, bilik media, bilik stor, tandas lelaki dan wanita, kelengkapan peralatan sepak takraw dan bilik persalinan serta bilik mesyuarat.
“Kesemua ini menelan belanja lebih kurang RM200,000 bajet DBKL. Tanpa perlu bina stadium yang baharu, kami hanya buat penetapan semula untuk fokus kepada sukan ini tapi tidak bermakna sukan lain tidak boleh menyewa dan guna fasiliti di sini,” katanya.
Hannah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stadium Titiwangsa sebagai “Home of Sepak Takraw” di sini hari ini.
Beliau turut berharap Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan skuad negara dapat memanfaatkan sepenuhnya fasiliti yang disediakan pihak DBKL dalam usaha memastikan skuad negara terus maju di persada antarabangsa.
Sementara itu, Presiden PSM Datuk Sumali Reduan berkata perasmian Stadium Titiwangsa sebagai “Home of Sepak Takraw” menjadi satu kebanggaan untuk terus mencipta nama negara dalam sukan itu di peringkat antarabangsa.
"Selepas beberapa kejayaan, kami memang memerlukan satu stadium sebagai simbol kebanggaan dan menggalakkan peminat sukan ini untuk terus menyokong,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial