ISKANDAR PUTERI, 5 Mac (Bernama) -- Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz mahu pemain mengekalkan momentum serta beraksi pada intensiti tinggi pada perlawanan timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/2026 menentang Sanfrecce Hiroshima.
Beliau berkata perlawanan di Edion Peace Wing Hiroshima pada 11 Mac nanti adalah penting bagi memastikan Harimau Selatan mara ke suku akhir.
“Kami berdepan lawan yang kuat dan penting untuk pemain berehat serta cergas sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan berikutnya,” katanya pada sidang media pascaperlawanan malam tadi.
Munoz turut memuji anak buahnya yang mempamerkan aksi berkualiti tinggi sekali gus berjaya menewaskan wakil Jepun itu 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim.
“Kemenangan ini satu pencapaian besar bukan sahaja untuk kelab, tetapi juga untuk negara kerana penting untuk menampilkan prestasi pada tahap tertinggi. Namun, kami perlu terus mengekalkan momentum cemerlang ini,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Sanfrecce Hiroshima Bartosch Paul Gauli menggesa pasukannya untuk bangkit pada perlawanan kedua nanti.
Mengakui intensiti dan kualiti lawan, beliau berkata pasukannya sudah menjangkakan cabaran sengit, namun yakin mampu mempamerkan aksi lebih baik apabila menerima kunjungan JDT di laman sendiri.
“Saya bangga dengan pasukan dan gembira kami berjaya menjaringkan satu gol kerana saya rasa ia boleh memberikan harapan untuk perlawanan berikutnya,” katanya.
JDT mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sanfrecce Hiroshima menerusi Ager Aketxe Barrutia pada minit ke-52, Bergson Da Silva ('63) dan Marcos Guilherme ('84) manakala gol tunggal lawan diperoleh hasil jaringan gol sendiri Nene seminit kemudian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial